LONDON – Fred tidak puas hati dengan Jose Mourinho kerana meminggirkan dalam skuad utama Manchester United.
Ini menyebabkan pemain tengah itu tidak terpilih untuk memperkuat Brazil pada bulan lalu.
Sejak kebelakangan ini, bekas pemain Shakhtar Donetsk itu sering diketepikan pengurus kelahiran Portugal itu gara-gara bergelut dengan prestasi tidak menentu di Old Trafford.
Fred jelas kecewa selepas disisihkan daripada skuad Brazil ketika bertemu Uruguay dan Cameroon pada bulan lalu.
“Saya jarang bermain di United dan sudah tentu jurulatih tidak dapat menilai prestasi saya walaupun saya telah kerja keras.
“Memang saya marah namun tahu mengatasi perasaan itu dengan berusaha lagi keras,” katanya memetik laporan Metro.co.uk.
Walaupun tidak menjadi pilihan utama Mourinho, Fred tidak mahu isu itu memberi kesan kepada kariernya.
“Ia proses untuk menyesuaikan diri dengan liga yang berbeza. Jurulatih ada alasan untuk tidak menurunkan saya dan tiada istilah pilih kasih.”
“Itu hak dia dan saya masih berada di sini dan saya tidak boleh biarkan ia menjejaskan fikiran saya serta perlu bersabar,” katanya. MalaysiaGazette