Abdul Azeez Abdul Rahim
Abdul Azeez Abd Rahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini tampil menafikan Yayasan Tabung Haji (YTH) menggunakan dana pendeposit untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik.

Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji itu berkata, sebanyak RM22 juta yang dikumpulkan oleh YTH pada tahun 2017 adalah dana yang diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk sumbangan korporat, peruntukan khas kerajaan dan orang perseorangan.

Program YTH itu termasuklah membantu golongan asnaf, fakir dan miskin, orang kurang upaya dan ibu tunggal dan miskin di seluruh negara melalui program ‘Ziarah Kasih’, ‘Jom Bantu Rakyat dan ‘Ziarah Kasih Ramadan’ selama setahun.

Jelas Abdul Azees, kalau pun ada pemimpin-pemimpin UMNO yang hadir dan terlibat dalam majlis-majlis tersebut, ia tidak sesekali membelakangi atau menyalahi objektif program kerana penyaluran wang dilakukan oleh pegawai-pegawai Tabung Haji.

Malah, pegawai-pegawai Tabung Haji juga menilai secara langsung kriteria dan kelayakan penerima sumbangan.

“Segala aktiviti yang dijalankan tidak pernah dirahsiakan malah dilaporkan secara meluas oleh pihak media.,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah beliau lagi, ia bukanlah wang pendeposit tetapi zakat hasil keuntungan pelaburan/perniagaan Tabung Haji yang berjumlah RM7 juta.

Bakinya adalah hasil sumbangan UMNO Malaysia, Kerajaan Pusat dan syarikat-syarikat yang tidal pernah membuat perniagaan dengan Tabung Haji.

Mengulas mengenai laporan polis kedua berhubung penjualan PT TH Indo Plantation pada harga RM3.8 bilion, Abdul Azeez berkata, beliau dilantik sebagai Pengerusi pada bulan Julai 2013.

Katanya, sehingga hari ini tiada sebarang dakwaan penyelewengan atau kecurian dan dakwaan jualan di bawah pasaran berkaitan penjualan 95 peratus pegangan dalam PT TH Indo Plantations.

Sebaliknya, laporan media ketika itu, dakwa Abdul Azeez melaporkan harga jualan PT TH Indo Plantations itu lebih tinggi daripada harga pasaran iaitu kira-kira AS$16,000 (RM67,200).

“Harga RM67,000 sehektar ini lebih tinggi berbanding harga jualan pada ketika itu dan jauh lebih tinggi berbanding harga nilaian RM16,000 pada hari ini,” ujarnya.

Malah, beliau berkata, segala transaksi itu tidak ada kaitan dengan UMNO, juga pengurus-pengurus kanan Tabung Haji yang lala seperti yang dinamakan dalam laporan polis.

Mereka juga bukan ahli UMNO atau mana-mana parti politik.

Lantaran itu, Abdul Azeez berkata, mengait dan melibatkan UMNO dalam isu ini adalah satu tindakan berniat jahat dan secara jelas mahu mengaib dan memburukkan UMNO serta kerajaan dahulu.

Beliau sedia memberi kerjasama dan mahu pihak berkuasa menyegerakan siasatan terhadap laporan polis agar rakyat tidak terus berprasangka dan membuat hukuman berdasarkan persepsi yang dicipta di ruang-ruang media.

Abdul Azeez menambah, nampaknya ada pihak begitu terdesak untuk terus mengaibkannya, sedangkan dua perkara berkenaan sudah dijawab sejak tahun lalu lagi. – MalaysiaGazette