LKAN
Pengunjung, Wong Lee Kim membaca buku laporan Ketua Audit Tahun 2017 Siri 2 selepas diedarkan pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri Kedua mendapati masih banyak syarikat kerajaan yang mempunyai urustadbir yang kurang memuaskan seperti tidak mempunyai prosedur standard operasiĀ  (SOP) khusus, pemberian pembiayaan atau kontrak pembekalan kepada ahli keluarga dan tidak menubuhkan Lembaga Tender.

Laporan dua kali setahun itu mendapati pembiayaan berjumlah RM4 juta dan RM300,000 telah diberikan kepada dua syarikat yang dimiliki oleh dua ahli Lembaga pengarah Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB).

Selain itu, perolehan buku berjumlah RM400,000 dibuat daripada syarikat yang mana pemiliknya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan salah seorang ahli Lembaga pengarah syarikat.

Tugas dan tanggungjawan Pengerusi PUNB juga tidak dinyatakan dengan jelas di samping komposisi Lembaga Pengarah tidak mencapai 50 peratus berstatus bebas.

Piagam Lembaga Pengarah, kod tatalaku dan etika Lembaga Pengarah tidak diwujudkan serta keanggotaan Jawatankuasa Imbuhan dan Pencalonan tidak sepenuhnya bebas.

PUNB dianggotai tujuh Lembaga pengarah bagaimanapun susulan peletakan jawatan pengerusinya dan dua lagi ahli Lembaga pengarah yang lain pada 25 Jun 2018, bilangannya tinggal empat orang yang terdiri daripada wakil dari Kementerian Kewangan dan baki tiga lagi wakil daripada pelbagai latar belakang.

Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) pula disyorkan supaya menambah baik amalan tadbir urus apabila penemuan Audit utama mendapati Lembaga Tender tidak ditubuhkan bagi pelantikan rakan program dan rakan strategik serta SOP khusus tidak disediakan bagi pelantikan rakan strategik.

Pengeluaran Letter of Demand kepada peserta yang melanggar kontrak telah mengambil masa selama 18 hingga 38 bulan menyebabkan sejumlah RM2.01 juta masih belum dikutip setakat Julai 2018.

Bagi Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB), meskipun diberikan status memuaskan namun Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri Kedua mendapati dana subsidi untuk pembinaan unit Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) yang dilaksanakan oleh anak syarikatnya, SPNB Mesra telah digunakan untuk tujuan lain.

Laporan tersebut bagaimanapun tidak menyatakan butiran ke mana dana berkenaan telah disalurkan namun mengesyorkan supaya ahli Lembaga pengarah SPNB Mesra menggunakan dana subsidi yang telah diberikan kerajaan untuk membina RMR1M seperti yang telah disasarkan.

Laporan tersebut turut mendapati bilangan RMR1M yang dibina sehingga 31 Disember 2017 masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan selain terdapat kelewatan di dalam pembayaran kepada kontraktor.

Kualiti sebahagian RMR1M yang telah siap dibina tidak mengikut lukisan, spesifikasi dan senarai kuantiti (BQ) yang telah ditetapkan.

Mengikut Laporan Ketua Audit 2017 Siri Kedua, hanya agensi Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Felcra sahaja yang mempunyai amalan tadbir urus yang baik.-MalaysiaGazette