KUALA LUMPUR – Jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman mengesahkan tujuh akaun peribadinya dibekukan gara-gara memperkenalkan mata wang kripto dikenali Lavida Coin pada Ogos lalu.
Beliau yang popular dengan panggilan Datuk Seri Vida bagaimana menafikan berdepan masalah kewangan gara-gara pembekuan itu selepas disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Jelas usahawan itu, masalah tersebut telah selesai selepas pihaknya tidak lagi menggunakan ke semua akaun tersebut.
“Lavida Coin bukan dalam siasatan dan saya rasa tiada masalah lagi cuma tunggu masa yang sesuai sebab sebelum ini berlaku salah faham dari segi kegunaan mata wang itu.
“Status terkini daripada SC tidak kata apa cuma kena tangguh promosinya dan jadi kita ikutlah arahan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette di sini semalam.
Pada 27 Ogos lalu, SC dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang meneliti maklumat sedia ada untuk menentukan sama ada penawaran Lavida Coin wujud sebarang perlanggaran
Badan pengawal selia itu berkata, pihaknya telah menerima pertanyaan mengenai penerbitan kertas putih bagi penawaran Lavida Coin kepada orang ramai.
Kertas putih tersebut mendakwa bahawa Lavida Coin ditawarkan sebagai satu inisiatif pembiayaan swasta untuk pengumpulan modal/dana bagi pembangunan tiga projek.
Kertas putih tersebut juga mendakwa bahawa hanya melalui pembiayaan ramai sahaja yang dapat memenuhi keperluan pembiayaan ini, kata SC dalam kenyataan di sini.
Sementara itu mengulas lanjut, Vida menegaskan beliau tidak akan sesekali menganiaya pembeli Lavida Coin namun berharap mereka bersabar sehingga awal tahun depan.
Jelas ini kerana rangka kerja mata wang itu akan diperkenalkan oleh kerajaan sebagai garis panduan kepada semua pengendali yang memperkenalkan mata wang kripto.
“Saya berharap Persidangan Parlimen akan datang akan memuktamadkan rangka kerja mata wang kripto dan akan memberi berita baik kepada Lavida Coin dan syiling lain namun ada pro dan kon.
“Saya juga berharap ada garis panduan yang boleh ikut agar berlaku ajakan pendapatan dan gaya hidup kerana pembayaran seperti Lavida Coin sudah mula trend di dunia dan kita tidak boleh lari dari pilihan untuk bergerak ke depan,” katanya yang memberitahu ketika ini terdapat lebih 2,000 pembeli Lavida Coin namun enggan mendedahkan jumlah dana yang sudah dikumpul.
Vida bagaimanapun menasihati pembeli agar tidak risau kerana Lavida Coin dan nilainya akan selamat bersama pihak pengurusannya.
“Kalau pengendali mata wang itu tiada hala tuju dan pembeli pun tidak kenal dan bila laman web secara online ditutup hendak cari siapa?
“Tapi saya ada di sini dan masih hidup serta doakan saya berjaya buat sesuatu untuk masyarakarat kerana ini semua jihad dan saya minta bersabar.
“Bitcoin pun dahulu pada peringkat awal ada masalah dan ambil masa 10 tahun harga naik daripada serendah RM1.50 dan pernah cecah sampai RM100,000. Tapi saya tidaklah sasar setinggi itu,” katanya. – MalaysiaGazette