PTPTN
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penangguhan yang bakal memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam itu berkuatkuasa serta-merta sehingga 30 September ini.-Gambar Hiasan.
KUALA LUMPUR – Pihak majikan mengakui tidak tahu apa-apa mengenai mekanisme potongan gaji secara wajib yang diumumkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pengarah Urusan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, para majikan tidak tahu cara potongan gaji dilakukan, walaupun percaya ia akan dilaksanakan seperti potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, majikan juga berdepan beberapa cabaran untuk melaksanakan potongan gaji secara wajib kerana mereka tidak tahu mana pekerja yang merupakan peminjam PTPTN.

Jelasnya, pendedahan identiti peminjam berdasarkan nombor kad pengenalan kepada majikan pula menimbulkan masalah baharu iaitu soal maklumat peribadi pekerja.

“Kalau kami mahu majikan melakukan semakan terhadap setiap pekerja untuk mengenal pasti sama ada mereka ialah peminjam, ia pasti menambahkan beban kami,” katanya kepada China Press.

Katanya, potongan gaji wajib juga boleh dipertikaikan kerana ia berpunca daripada pinjaman.

“Disebabkan ini merupakan pinjaman, maka kami sebenarnya tidak boleh melakukan potongan gaji tanpa persetujuan pekerja.

“Selain itu, potongan gaji dengan nisbah berlain-lain menurut tangga gaji yang berbeza-beza akan menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Pengumuman PTPTN untuk melaksanakan potongan gaji secara wajib dengan bayaran mengikut tangga gaji telah mencetuskan perdebatan hangat, khususnya daripada mereka yang perlu menerima potongan gaji bulanan lebih daripada apa yang dipersetujui semasa menerima pinjaman.

Mengikut maklumat yang diumumkan, peminjam dengan pendapatan bulanan RM2,000 perlu membayar RM40 sebulan, tetapi mereka yang mempunyai gaji bulanan RM8,000 perlu membayar RM1,200 sebulan.

Keadaan itu adalah jauh lebih tinggi daripada bayaran RM200 sebulan yang dipersetujui peminjam dalam perjanjian pinjaman.

Peminjam turut melontarkan rasa tidak puas hati terhadap pendekatan itu dalam laman Facebook PTPTN.

Berikutan daripadanya, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan pada Khamis berkata, PTPTN sedia mempertimbangkan rayuan peminjam berhubung skim potongan gaji, tetapi menegaskan langkah yang akan dimulakan pada Januari 2019 itu tidak bertentangan dengan undang-undang.

Jelasnya, apabila peminjam menandatangani perjanjian dengan PTPTN, ia bermakna mereka bersetuju untuk membuat pembayaran balik mengikut sebarang skim yang ditetapkan perbadanan itu. – MalaysiaGazette