KULAI – Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap isu tuntutan ruang udara dan sempadan perairan Malaysia dan Singapura diselesaikan menerusi meja rundingan.
Semasa ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor di sini hari ini, Muhyiddin berkata langkah berkenaan penting bagi mengelak sebarang persaingan yang tidak perlu antara kedua-dua negara.
“Saya maklum apa yang telah dinyatakan oleh Menteri Singapura beberapa hari lepas bahawa mereka (Singapura) ingin menyelesaikannya secara baik, jadi itu adalah langkah yang baik. Kita tidak mahu mencetuskan persaingan yang tidak perlu yang menimbulkan rasa tidak puas hati,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai perkembangan terkini antara Singapura dan Malaysia yang timbul berikutan isu ruang udara dan sempadan perairan.
Beliau berkata, Kabinet telah membincangkan kedua-dua isu berkenaan secara serius baru-baru ini.
Bagaimanapun, Muhyiddin yakin Menteri yang berkaitan akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu-isu tersebut, seperti yang diarahkan oleh kabinet.
“Hubungan Singapura-Malaysia selama ini baik.
“Biasalah (ada masalah), waktu saya menjadi Menteri Besar dahulu, kita ada masalah (juga) tetapi kedua-dua negara mahu bekerjasama,” katanya. – MalaysiaGazette