KUALA LUMPUR – Ribuan rakyat menyertai Himpunan Ummah membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang diadakan hari ini sebagai amaran jelas kepada kerajaan yang banyak buat U-turn.
Presiden Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenajung (GPMS), Zamri Mohd Isa berkata, perhimpunan itu diadakan bukan untuk menggugat keamanan negara, sebaliknya memberi isyarat kepada kerajaan bahawa orang Melayu dan Bumiputera menolak sebarang pelaksanaan ratifikasi ICERD.
“Kita datang berkumpul, berpanas pada hari ini kerana kerajaan Pakatan Harapan paling banyak buat U-turn,” katanya
Zamri mengingatkan agar rakyat Malaysia jangan sesekali terpujuk dengan dakwaan segelintir pemimpin yang menyatakan ICERD tidak menjejaskan keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini.
“Kita bukan tolak ICERD kerana emosi, tetapi kita tolak ICERD kerana ia akan menjejaskan Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.
“Kalau ada pemimpin atau peguam kata tanda tangan ICERD Perkara 153 tidak terjejas, itu mitos.
“Ini kerana dalam klausa 4 yang menyebut, apa-apa kitan dengan Melayu dan bangsa ada had masa. Jadi, kalau ratifikasi ICERD diterima, maka dalam Perkara 153 perlu diletakkan had masa.
“Katakan habis tempoh masa 50 tahun, maka Perkara 153 perlu dihapuskan. Tiada lagi rizab tanah Melayu, tiada lagi askar Melayu diraja,” ujarnya sambil menjelaskan Perlembagaan Persekutuan yang ditandatangani pada tahun 1957 sudah cukup lengkap untuk Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.
Dalam ucapannya itu, Zamri turut mengecam Majlis Peguam Negara yang tidak kelihatan dalam Himpunan Ummah bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang diadakan hari ini.
Jika Bersih membuat perhimpunan, cepat sahaja wakil-wakil mereka untuk turut serta.
“Hari ini, mereka tak datang,” kata Zamri. – MalaysiaGazette