Bangunan Ibu pejabat Lembaga Tabung Haji di Jalan Tun Razak.

KUALA LUMPUR – Tindakan Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan aset-aset yang tidak menguntungkan termasuk tanah di Tun Razak Exchange (TRX) kepada sebuah syarikat khas (SPV) milik Kementerian Kewangan adalah sangat pelik.

Apatah lagi apabila TH mendakwa tanah TRX seluas 0.6 hektar yang dijual kepada syarikat SPV tidak memberi sebarang pulangan kepada mereka.

Datuk Seri Najib Razak berkata, tanah itu mempunyai nilai dan potensi jauh lebih tinggi berbanding harganya semasa ia dibeli empat tahun lalu.

Katanya, tanah TRX yang dibeli oleh TH dengan harga RM188.5 juta (RM2,773 sekaki persegi) pada tahun 2015 berbanding pembeli lain yang membayar RM3,500 sekaki persegi, malah ada yang membayar lebih dari RM4,000 sekaki persegi.

Tanah TRX milik TH terletak di sebelah Menara Exchange 106 iaitu bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan berjiran kepada bangunan-bangunan ibu pejabat kepada pelbagai syarikat kewangan antarabangsa dan pelbagai syarikat terbesar di dunia seperti HSBC, CCCC, Prudential dan sebagainya.

Malah, tanah TH itu juga sudah tersedia khidmat stesen MRT yang sudah beroperasi dan berdekatan dengan projek lifestyle center milik syarikat hartanah gergasi Australia bernama Lend Lease.

“Ini dianggap tiada pulangan? Oleh itu, saya sangat pelik mengapa Tabung Haji boleh kata pembelian tanah TRX ini tidak berbaloi dan perlu dijual kepada syarikat SPV milik Menteri Kewangan,” kata Najib dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas pengumuman TH yang akan menjual aset bernilai RM19.9 bilion pada nilai buku kepada sebuah SPV di bawah Kementerian Kewangan yang dipimpin oleh Lim Guan Eng.

Selain tanah TRX yang mempunyai pulangan 2 peratus setahun, aset lain yang dijual kepada SPV ialah saham yang merosot 20 peratus sejak dibeli oleh TH.

Mengulas mengenainya, Najib berkata, penjualan saham itu bermakna kebanyakan saham milik TH di Bursa Malaysia merosot selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Menurut Najib, tindakan kerajaan Pakatan Harapan untuk menjual aset bagi menyelesaikan defisit RM4.1 bilion akibat terlebih bayar dividen selama empat tahun berturut-turut memang sudah dijangkakan.

Di tambah pula apabila defisit ini tiba-tiba timbul apabila diaudit oleh firma PriceWaterhouse Coopers (PWC) yang baru dilantik.

Dakwa bekas Perdana Menteri itu, PWC juga ialah syarikat audit yang dilantik oleh Guan Eng untuk membuat audit khas ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) beberapa bulan sebelum ini.

Hasil audit PWC ke atas TH bercanggah dengan firma audit Ernst & Young yang selama ini mengesahkan aset TH lebih tinggi dari liabiliti mereka dan tidak timbul adanya defisit.

Sedangkan firma Ernst & Young, yang merupakan antara empat syarikat audit terbesar dan terkenal didunia – sama taraf dengan PWC.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mempersoalkan mengapa TH hanya dibayar dividen 2.5 peratus setahun oleh SPV untuk aset yang bernilai RM19.9 bilion.

Dalam sidang media hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Zukri Samat berkata, SPV ini akan membayar TH dengan menerbitkan sukuk 7 tahun bernilai RM10 bilion dan RM9.9 bilion dalam saham keutamaan boleh tebus Islam (RCPS-I).

TH akan pegang Sukuk dan RCPS-I yang bernilai RM19.9 bilion sehingga ditebus oleh SPV ini. Sukuk ini hanya membayar dividen 5 peratus setahun kepada TH manakala RCPS-I ini tidak ada dividen.

Ini bermakna TH hanya dibayar dividen 2.5% setahun oleh SPV ini untuk aset yang bernilai RM19.9 bilion ini, kata Najib sambil berkata SPV ini akan bertanggungjawab untuk memajukan ataupun menjual aset-aset ini.

“Persoalannya, jika aset-aset yang dijual kepada SPV ini naik harga semula jika Bursa Saham memulih, adakah TH akan menikmati keuntunggan ini ataupun masih dihadkan kepada dividen 2.5 peratus setahun untuk 7 tahun?

“Mengapa penyelesaian PH untuk segala isu ialah dengan menjual aset?” soalnya. – MalaysiaGazette