Datuk Mazlan Mansor

KLANG – Timbalan Pendakwa Raya (DPP) telah mengarahkan polis untuk membuat pertuduhan terhadap 21 individu berhubung insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, Selangor pada hujung bulan lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata sehingga kini, polis telah menahan 106 indvidu bagi membantu siasatan dengan membuka sejumlah 67 kertas siasatan.

“Pendakwaan terhadap kesemua mereka (21 individu) akan dilakukan secara berperingkat dan sehingga kini 13 daripada 21 individu berkenaan telahpun didakwa.

“Kebanyakan mereka dituduh mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 325 Kanun sama kerana mengakibatkan kecederaan parah,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Klang Utara yang baharu di perkarangan Balai Polis Kapar di sini hari ini.

Pada hujung bulan lepas, Selangor digemparkan dengan insiden kekecohan di kuil itu yang menyaksikan polis menahan 106 indvidu setakat ini bagi membantu siasatan.

Kejadian itu turut menyaksikan seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, cedera parah akibat dipukul perusuh dan kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Dalam pada itu, Mazlan berkata polis buat masa ini akan mementingkan kesihatan Muhammad Adib dan belum menerima kebenaran daripada pihak IJN untuk mendapatkan versi cerita beliau berhubung insiden itu.

Majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Klang Utara menyaksikan ACP Mazelan Paijan menyerahkan tugas beliau kepada Ketua Polis Daerah Klang Utara yang baharu ACP Nurulhuda Mohd Salleh.

Pelantikan Nurulhuda, 48, bagi menggantikan Mazelan yang bertukar silang dengan jawatan yang dipegang Nurulhuda sebelum ini iaitu sebagai Ketua Penolong Pengarah (Perancangan Strategik), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman.

Beliau merupakan wanita kedua yang diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor selepas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Shafa’aton Abu Bakar.

Mazlan berkata pelantikan Nurulhuda yang berkuatkuasa hari ini adalah sebagai mengiktiraf pencapaian dan sumbangan warga kerja wanita di IPK Selangor.

– BERNAMA