KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan hari ini menjelaskan ia telah membuat bayaran kepada sebuah syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan yang telah dipertanggungjawab di Hospital Putrajaya bagi tempoh 1 Jun 2017 hingga 30 November 2018.

Sehingga kini tiada bayaran tertunggak bagi perkhidmatan kawalan keselamatan (tanpa senjata) dan Cash in Transit di hospital berkenaan.

“KKM juga tidak mendapat sebarang aduan tentang pengawal keselamatan di di Hospital Putrajaya tidak dibayar gaji selama tiga bulan,” kata Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha Kementerian itu.

Namun, katanya, perkhidmatan syarikat itu di Hospital Putrajaya telah ditamatkan berkuatkuasa mulai 16 Disember 2018 melalui Notis Penamatan Perkhidmatan bertarikh 12 Disember 2018.

Ini kerana berlaku pelanggaran syarat Perjanjian Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (tanpa senjata), Bersenjata dan Cash In Transit di Hospital Putrajaya bagi tempoh dua tahun mulai 1 Jun 2017 sehingga 1 Jun 2019.

Di bawah perjanjian yang ditandatangani, syarikat adalah bertanggungjawab untuk membayar gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bayaran kerja lebih masa dan sebagainya kepada pengawal keselamatan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa termasuk Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan apa-apa perundangan subsidiari yang dibuat di bawah undang-undang berkenaan.

Baru-baru ini, Parti Sosialis Malaysia mendakwa kakitangan kontrak di sebuah hospital kerajaan di Putrajaya tidak dibayar gaji sejak September lalu.

Disebabkan masalah itu, tugas pengawal keselamatan kini diselia oleh pasukan polis bantuan kerana kakitangan pengawal keselamatan sudah tidak lagi hadir ke tempat kerja. – MalaysiaGazette