Latheefa Koya

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) diberi peringatan agar tidak sesekali bercakap tentang amalan demokrasi seandainya apa yang diamalkan jauh panggang dari api.

Ahli PKR, Latheefa Koya secara terbuka mendakwa pelantikan Pengerusi Negeri PKR sebenarnya lebih berdasarkan puak dan kelompok tertentu.

Dakwanya lagi, rata-rata lantikan tersebut sebenarnya tidak mendapat sokongan majoriti sebaliknya sesuatu telah  dilakukan untuk memenangkan pihak tertentu.

Menurut Latheefa, pelantikan yang dilakukan sejak beberapa hari lepas sebenarnya amat mengganggu fikiran, menimbulkan rasa tidak senang serta kebimbangan berterusan.

“Sebenarnya lantikan-lantikan ini mengundang pelbagai persoalan, apatah lagi ianya bukan mendapat sokongan majoriti. Saya mempunyai bukti berhubung dakwaan ini.

“Selain Selangor dan Sarawak, pengerusi yang dilantik ini bukan mendapat sokongan majoriti sebaliknya lebih berkepentingan untuk satu puak sahaja. Mengapa begitu? Pelantikan seperti ini lebih kepada kroni.

“Ingat, kronisme merupakan antara faktor yang sangat dibenci dalam agenda reformasi PKR. Di Pahang dan Sabah sebagai contoh, pada mulanya tidak mendapat sokongan Ketua Cabang negeri.

“Tetapi secara tiba-tiba, mereka tukar sokongan pula selepas di panggil oleh Presiden Parti. Persoalannya, apa yang diungkap sehingga golongan ini boleh menukar fikiran?

“Walaupun Presiden boleh memilih pengerusi negeri melalui rundingan dengan Ketua Cabang tetapi sungguh luar biasa apabila mengetepikan suara majoriti,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Jelas Latheefa lagi, pelantikan anak presiden, Nurul Izzah Anwar sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang sendiri sudah secara terang-terangan menonjolkan nepotisme dalam parti.

“Pelantikan Nurul Izzah sebagai Pengerusi Pulau Pinang oleh Presiden parti,yang juga bapanya sangat tidak sesuai dan terbuka kepada tuduhan amalan nepotisme.

“Amalan melantik saudara terdekat dalam jawatan penting tidak sewajarnya wujud dalam sebuah parti reformis, jangan hanya sekadar bercakap tentang amalan demokrasi dalam negara tetapi amalkan terlebih dahulu,” tegasnya.

Dalam pada itu, Latheefa juga membidas pelantikan pengerusi  Kelantan baru sahaja keluar dari UMNO, selain digantung kerana tuduhan skandal politik wang.

“PKR perlu sedar kiita sebenarnya sudah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dengan diberi tanggungjawab besar melaksanakan reformasi dan mentadbir negara dengan betul.

“Kita perlu pertahankan amalan demokrasi itu terlebih dahulu dengan apa cara sekalipun. Selepas pemilihan parti yang terpalit dengan pelbagai skandal, pelantikan ini telah menyebabkan lebih banyak spekulasi sehingga hilangnya penghormatan serta keyakinan,”  tegasnya.

Sejurus selepas beberapa jam Latheefa mengeluarkan kenyataan ini, Nurul Izzah bertindak melepaskan kesemua jawatan dalam parti.

Nurul Izzah berkata, beliau hanya mahu menjadi wakil rakyat Permatang Pauh sahaja, selain ahli biasa dalam parti. –MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/12/17/nurul-izzah-letak-jawatan-naib-presiden-pkr/