KUALA LUMPUR – Pengedar kereta import Honda memohon maaf secara terbuka berikutan tindakan tidak bertanggungjawab salah seorang kakitangannya yang mengeluarkan kenyataan tidak sensitif mengenai kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Honda Sri Utama Auto Malaysia Sdn Bhd menzahirkan permohonan maaf itu menerusi kenyataan rasmi setelah menyedari perbuatan kakitangan wanita itu viral dalam media sosial Facebook dan WhatsApp.

“Kami secara ikhlas memohon maaf untuk komen tidak sensitif yang dibuat oleh kakitangan kami (Caryn Yean) tentang kematian menyedihkan anggota bomba Encik Adib.

“Kami tidak akan berlembut atau bertolak ansur dengan sikap sedemikian rupa sama ada dalam talian atau di luar talian laman web.

“Buat masa ini kakitangan digantung kerja dan penyiasatan dalaman telah dimulakan dan kami akan mengambil tindakan paling tegas,” kata Pengarah syarikat itu, Wong Chee Keong dalam kenyataan hari ini.

Syarikat yang terletak di Setapak itu juga menzahirkan takziah kepada keluarga Allahyarham sambil menyifatkan doanya sentiasa bersama ahli keluarga mangsa pada waktu sukar ini.

Muhammad Adib yang berasal dari Kuala Kedah meninggal dunia 9.41 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN).

Rawatan oleh pasukan pakar perubatan IJN selama tiga minggu akibat parah diserang dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ25 Subang Jaya tidak mampu menyelamatkan anak kedua dari empat beradik itu yang menghembuskan nafas akhir di sisi ahli keluarga dan tunangnya.

Muhammad Adib sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 22 Disember ini.

wanita jurujual honda
Komen seorang kakitangan Honda yang dikecam akibat perbuatannya ‘mempersenda’kematian allahyarham Muhammad Adib dalam Facebook.

Dalam ruang komentar di Facebook, kakitangan wanita yang bekerja dengan Honda itu secara terbuka menulis: “bukan kerajaan yang gagal.. tuhan u yang gagal xsembuhkan adib”.

Netizen bernama Hasnah Abd Rahman yang terbaca komen berkenaan menyifatkan tindakan Caryn Yean agak keterlaluan dan biadap tanpa menghormati sensitiviti dan kesedihan ahli keluarga yang meratapi kematiannya.

“Kami tidak memerlukan individu ‘bodoh’ yang tidak sensitif serta tidak bertanggungjawab seperti ini sebagai rakyat Malaysia! Caryn Yean seperti yang dilihat dalam gambar, pemudi Cina yang bekerja di Honda, meninggalkan komen tidak bertanggungjawab tentang kematian adik Muhammad Adib, anggota bomba yang parah dalam rusuhan pemindahan kuil Hindu,” menurut netizen itu.

Mesej netizen berkenaan memberi bayangan ramai yang tidak dapat menerima ulasan Caryn Yean yang dianggap menyinggung perasaan tanpa menyedari situasi keluarga mangsa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast