AKHIR-akhir ini politik Malaysia seakan-akan semakin sukar untuk difahami apatah lagi permainan politiknya ibarat permainan catur yang semakin hari semakin sukar untuk dijangka oleh rakyat.
Jika kita lihat sekarang aktiviti lompat parti ini seolah-olah menjadi satu trend kepada Ahli Parlimen sejak peralihan kuasa pada awal Mei lalu dari kerajaan Barisan Nasional kepada kerajaan Pakatan Harapan.
Boleh dikatakan Ahli-Ahli Parlimen dari Parti UMNO antara yang laris ‘terjual’ bak pisang goreng panas.
Itu baru Ahli Parlimen belum lagi ahli-ahli sayap parti UMNO yang sememangnya tidak mampu lagi dikira dek jari.
Rata-rata rakyat lihat aktiviti lompat parti ini hanya sekadar isu politik yang remeh-temeh dan tidak akan membawa apa-apa impak pada landskap politik di negara ini.
Tanggapan ini sama sekali salah, sebenarnya ia akan memberi impak yang besar kepada negara khususnya rakyat. Jika dilihat dari sudut atau konteks yang lebih luas faktor aktiviti
lompat parti ini merupakan bibit-bibit permulaan yang boleh menggugat kestabilan kontrak sosial di negara ini.
Sedar atau tidak apabila semakin giat aktiviti memacing Ahli Parlimen parti UMNO masuk ke Parti Pakatan Harapan ia semakin memudahkan kerajaan Pakatan Harapan untuk memperoleh suara majoriti atau suara dua pertiga di Dewan Rakyat.
Secara tidak langsung ia memudahkan mereka untuk mentadbir negara ini tanpa adanya campur tangan dari pihak lain. Atau lebih mudahnya apabila kerajaan Pakatan Harapan sudah memiliki majoriti dua pertiga ini bermakna urusan perlembagaan dan pindaan undang-undang dibawah kawalan mereka.
Persoalannya apa yang akan terjadi apabila kerajaan Pakatan Harapan memilik suara majoriti dua pertiga?
Pernah atau tidak terdetik atau terfikir jika perkara ini betul-betul berlaku kelak apa akan terjadi dengan bangsa, agama dan negara kita? Lebih-lebih lagi baru-baru ini kecoh dengan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi
Kaum (ICERD).
Benar Tun Mahathir Sudah mengeluarkan kenyataan untuk tidak
meratifikasi ICERD tetapi harus diingatkan ia hanya bersifat sementara.
Bayangkan jika kerajaan Pakatan Harapan sudah lengkap memiliki suara majoriti dua pertiga tidak mustahil pindaan terhadap ICERD boleh dilakukan sesuka hati oleh mereka.
Perkara ini bukan untuk menakut-nakutkan rakyat tetapi kita perlu belajar dari pengalaman yang lalu.
Masih ingat lagi bagaimana Tun Mahathir memansuhkan kekebalan dan imuniti Raja-raja Melayu? Di mana semasa pemerintahan Tun Mahathir pada ketika itu memangku jawatan
sebagai Perdana Menteri ke-4 Malaysia.
Dengan adanya kuasa majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat ia memudahkan Tun Mahathir untuk memansuhkan kekebalan dan imuniti Raja-raja Melayu pada ketika itu.
Jadi sangat tidak mustahil jika perkara ini berlaku ia akan membolehkan pindaan terhadap ICERD. Apatah lagi sesetengah Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan sehingga ke hari ini
masih mendesak kerajaan untuk meratifikasi ICERD. Secara tidak langsung perkara ini akan mengancam kedudukan orang-orang Melayu, Bumiputera, agama dan lain-lain.
Sememang inilah hakikat yang perlu rakyat tahu jika Ahli Parlimen dari parti pembangkang terus-terusan lompat parti tidak mustahil ia akan menggugat kontrak sosial di negara ini
tanpa kita sedar.
Jadi besarlah harapan saya agar isu lompat parti ini diberikan penekanan secara serius supaya tiada perkara yang lebih buruk akan berlaku di kemudian hari.
Besar juga harapan saya kepada Datuk Seri Mohamad Hasan agar beliau dapat mengekang budaya lompat parti supaya Ahli-ahli Parlimen UMNO tidak ada lagi yang melakukan budaya lompat parti ini sesuka hati.
Dhia Hani,
Persatuan Pemikir Muda Johor