Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.
KLCC mercu tanda Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR – Landskap korporat Malaysia diasak badai pada 2018. Banyak syarikat mencatat kerugian, selain berlaku rombakan pegawai kanan dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di tengah-tengah skandal hutang berbilion ringgit 1Malaysia Development Bhd (1MDB), serta isu penyelewengan dana dan operasi di banyak syarikat besar yang lain.

Institusi ini yang ditubuhkan dengan objektif mulia, kini berhadapan isu hilang kepercayaan dan keyakinan, ibarat perpatah Melayu ‘harapkan pegar, pegar makan padi’, yang dikaitkan dengan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan ahli lembaga pengarah, untuk keuntungan peribadi.

Masalah ini sudah sampai ke tahap yang sangat serius sehingga kerajaan perlu memberi perhatian dan sumber untuk menyelesaikan hutang yang semakin meningkat dan kemelut kewangan yang dihadapi oleh perbadanan terbabit.

ENTITI BERMASALAH

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), yang ditubuhkan untuk mengubah kehidupan peneroka serta membasmi kemiskinan, dan anak syarikatnya seperti FGV Holdings Bhd dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd, dikatakan membazirkan berbilion dolar antara 2013 dan 2017, dalam urusan pengambilalihan yang menimbulkan persoalan dan dikritik ramai.

Bagi dana pelaburan negara, 1MDB, kerajaan merancang mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang didakwa terlibat menyalahgunakan dana dalam skandal berbilion ringgit itu.

Dan dana tabungan haji, Lembaga Tabung Haji (TH), badan berkanun yang ditubuhkan untuk memudahkan umat Islam menunaikan ibadah haji, kini menjadi perhatian ramai selepas mencatat defisit RM4 bilion, yang dikaitkan dengan tindakan pengurusan memalsukan akaun bagi mewajarkan pembayaran dividen.

Ini dinyatakan oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang menegaskan bahawa dana itu, sejak 2012, telah membayar dividen yang lebih tinggi daripada kemampuan, dan memberi amaran bahawa bagi setiap ringgit liabiliti, ia mempunyai 98 sen dalam aset .

Merujuk kepada siasatan audit, akhbar harian tempatan melaporkan bahawa dividen mungkin dibayar daripada simpanan pendeposit.

Bekas eksekutifnya dipersalahkan kerana tidak melaksanakan pengawalseliaan yang sepatutnya dan didakwa menyalahgunakan dana untuk motif politik.

IMPAK SKANDAL KEWANGAN

Dalam ucapan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan baharu dibebani kedudukan kewangan yang membimbangkan dengan hutang dan liabiliti sebanyak RM1,065 bilion, sehingga Jun 2018, hampir RM350 bilion lebih tinggi daripada yang diumumkan secara rasmi oleh kerajaan terdahulu.

Hutang trilion ringgit itu adalah susulan skandal kewangan dan hutang besar yang berkaitan projek mega yang melambung disebabkan rasuah.

Kerajaan terdahulu juga didapati secara rahsia membayar hutang 1MDB berjumlah hampir RM7 bilion sehingga 30 April 2018.

Untuk menyelesaikan semua hutang 1MDB, kerajaan juga perlu membuat pembayaran tambahan sebanyak RM43.9 bilion.

Lim berkata kerajaan baharu, yang mengambil alih kuasa selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei, akan berusaha mengurangkan kawalan pemilikannya dalam GLC kerana mahu sektor swasta mengambil peranan penting dalam memacu ekonomi.

Beliau juga menegaskan tentang perlunya GLC meningkatkan prestasi mereka dan mempunyai tadbir urus korporat yang sesuai.

Ahli politik tidak lagi dibenar dilantik sebagai ahli lembaga pengarah GLC, dan Lim menekankan bahawa ini adalah satu langkah penting agar syarikat-syarikat ini memberi tumpuan kepada perniagaan dan prestasi, jauh daripada motif politik.

Akibat tindakan itu, banyak GLC berprestasi lemah, skandal dan penyelewengan dana yang membawa kepada kerugian nilai aset berbilion ringgit serta hilang keyakinan pelabur.

Pada Julai, dana kekayaan negara, Khazanah Nasional Bhd, mengumumkan peletakan jawatan sembilan ahli lembaga pengarahnya termasuk pengarah urusan Tan Sri Azman Mokhtar.

Langkah ini dilihat sebagai rombakan besar-besaran bagi memudahkan peralihan kepada kerajaan baharu.

Tahun ini, prestasi portfolio syarikat Khazanah agak suram, selari dengan sentimen lemah di bursa tempatan berbanding tahun lepas apabila harga saham yang melonjak tinggi mendorong pelaburan Khazanah mencatat paras tertinggi.

Dalam syarikat perbankan dan telekomunikasi Khazanah yang tersenarai, juga menyaksikan peletakan jawatan beberapa anggota utama termasuk pengerusi kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak, yang akan meninggalkan kumpulan itu pada 31 Dis, serta pemangku ketua pegawai eksekutif Telekom Malaysia, Datuk Bazlan Osman yang berakhir pada November.

Khazanah baru-baru ini mengumumkan penjualan 16 peratus sahamya dalam IHH Healthcare Bhd kepada konglomerat Jepun Mitsui & Co Ltd.

Sementara itu, agensi kerajaan, Felda yang dilanda dakwaan salah urus dan hutang yang semakin meningkat, mula melupuskan aset bukan strategiknya untuk mengimbangi hutang.

Proses menjual aset bukan strategiknya akan berjalan sehingga pertengahan atau akhir tahun depan.

Ini susulan unit tersenarai, FGV, mengambil tindakan undang-undang terhadap 14 bekas pengarah dan pegawai tertinggi, yang didakwa bertanggungjawab ke atas kerugian RM514 juta daripada pengambilalihan Asian Plantation Ltd yang disenarai di London, bernilai RM1.1 bilion.

KEPUTUSAN KEWANGAN KORPORAT

Untuk suku ketiga berakhir pada 30 Sept, 2018, FGV, pengeluar minyak sawit dan pengendali ladang sawit terbesar di dunia mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM849.3 juta, disebabkan oleh kerugian dalam aktiviti perladangan dan kekurangan berbanding keuntungan bersih sebanyak RM41.5 juta untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Telekom Malaysia Bhd, melaporkan kerugian dalam tempoh suku ketika tahun kewangan 2018, disebabkan oleh kemerosotan nilai aset rangkaian.

FTSE Russell dan Bursa Malaysia mengumumkan dua perubahan kepada komponen FTSE Bursa Malaysia KLCI, dengan Top Glove dan AMMB Holdings menggantikan KLCC Prop & Reits – Stapled Sec dan Telekom Malaysia.

Pengumuman itu dibuat pada 6 Dis, berikutan semakan semula tahunan siri indeks FTSE Bursa Malaysia.

Sebahagian daripada Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI, digunakan secara meluas oleh para pelabur sebagai penanda aras utama bagi pasaran Malaysia.

Ketua penyelidik MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Mohd Redza Abdul Rahman berkata keputusan kewangan korporat yang lemah pada suku ketiga, lazimnya disebabkan oleh hasil yang lebih rendah ekoran harga komoditi yang rendah serta pengesahan pendapatan dan perubahan yang lewat selain perubahan terhadap dasar atau peraturan.

“Tidak semua keputusan yang buruk berpunca daripada tadbir urus yang lemah, namun hasil yang tidak begitu menarik itu menjadikan isu itu lebih menonjol,” kata Redza kepada Bernama semasa menjawab soalan sama ada hasil kewangan yang mengecewakan bepunca daripada tadbir urus dan operasi yang lemah.

Beliau berkata kenaikan kos import bahan mentah akibat susut nilai ringgit dan harga minyak yang tinggi, memberi kesan kepada pendapatan korporat.

“Walaupun pendapatan menjejaskan keuntungan dan menyebabkan harga saham menurun, penurunan itu juga disebabkan oleh kebimbangan terhadap geopolitik seperti perang perdagangan dan aliran keluar dana asing yang tinggi disebabkan oleh banyak faktor termasuk kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS,” katanya.

“Kami tidak dapat menolak kesan geopolitik terhadap prestasi pasaran (tekanan ke atas harga) dan pendapatan eksport serta pengimport,” katanya.

Mohd Redza berkata secara amnya, risiko di peringkat domestik mula pulih selepas kajian semula pertengahan penggal Rancangan Malaysia ke-11 dan pengumuman Belanjawan 2019.

“Jadi, kedudukan yang lebih jelas ini akan membantu sektor yang mengalami penurunan, seperti telekomunikasi dan kaunter pembinaan, yang akan menyaksikan pemulihan harga.

Kami tidak melihat peningkatan risiko ekoran kejutan rombakan dalam GLC, sebaliknya akan meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.

Sementara itu, Kenanga Research bagaimanapun menjangkakan bahawa akan ada satu lagi pusingan semakan negatif.

Bagi semua 146 saham dalam liputannya, Kenanga Research mengurangkan pendapatan bersih Tahun Kewangan 2018/19 (anggaran) dengan purata 9.1 peratus/6.4 peratus.

“Semakan pendapatan ini jauh lebih besar berbanding konstituen FBMKLCI,” kata Kenanga Research dalam laporan strategi pasaran.

IMPAK PERUBAHAN POLITIK KE ATAS TRANSAKSI KORPORAT

Srividya C. Gopalakrishnan, pengarah urusan firma penasihat global Duff & Phelps Singapore Pte Ltd, berkata Malaysia mencatat penurunan besar dalam tawaran korporat tahun ini.

Jumlah urus niaga dalam aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A), ekuiti persendirian/modal teroka (PE/VC) dan tawaran awam permulaan (IPO) berjumlah US$12.5 bilion berbanding paras rekod tahun lepas dengan tawaran bernilai US$20.3 bilion.

Beliau berkata ini mungkin disebabkan oleh perubahan politik dan perniagaan yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat bagi menunggu inisiatif pertumbuhan strategik.

“Dalam kebanyakan ekonomi, dasar, unjuran dan peraturan mempunyai kesan ke atas aktiviti perjanjian – sektor mana yang mencatat lebih banyak aktiviti dan bagaimana urus niaga seperti itu distrukturkan,” katanya.

Oleh itu, bagi sebarang perubahan dalam kerajaan, akan ada dasar tunggu dan lihat jangka pendek dalam kalangan perniagaan, terutama yang perlu membuat keputusan melibatkan pelaburan strategik yang besar.

Ini mungkin antara sebab mengapa momentum untuk tawaran meningkat secara signifikan pada tempoh akhir tahun ini, katanya.

“Pada 2018, kami menyaksikan tawaran M&A penting yang dipacu oleh sektor penjagaan kesihatan dan perindustrian dan pelaburan yang dipacu oleh sektor pendidikan,” katanya.

UNJURAN TRANSAKSI PADA 2019

Bagi 2019, Srividya berkata prospek bagi urus niaga di Malaysia dilihat sihat dan kukuh.

“Pada 2019, kami menjangkakan dapat melihat lebih banyak aktiviti M&A dari sektor seperti tenaga, utiliti, penjagaan kesihatan dan perindustrian.

“Kami berharap dapat melihat lebih banyak pelaburan PE/VC dalam teknologi dengan Malaysia berikutan trend yang ditetapkan oleh Singapura dan Indonesia dalam ruang ini,” katanya.

Srividya mendapati di peringkat global, kitaran perniagaan semakin pendek, gangguan akan berterusan dan perubahan kawal selia akan kekal, membawa kepada ketidakpastian dan ketidaktentuan global yang lebih besar.

“Ini juga memberi kesan kepada Asia Tenggara dan Malaysia.

O”leh itu, peluang pertumbuhan organik untuk perniagaan merupakan cabaran utama, yang mendorong perniagaan mencari peluang pertumbuhan organik untuk menjadi pemacu utama M&A dan pelaburan,” katanya.

PELAN PEMULIHAN 

GLC Malaysia yang diwujudkan dengan matlamat mulia, mempunyai tugas yang lebih besar untuk memenangi kepercayaan rakyat dan menumpukan kepada pelan pemulihannya dalam menghadapi badai yang melanda dan bangkit daripada kerugian besar untuk kembali pulih.

Susulan urusan perundangan yang perlu diselesaikan, pembentangan kertas putih Felda, ditangguhkan ke tahun depan.

Kertas putih itu akan memberikan gambaran komprehensif tentang masalah yang dihadapi Felda.

Bagi TH, aset yang kurang menarik, bernilai kira-kira RM19.9 bilion, akan diambil alih oleh jentera tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan.

ASAS KORPORAT KEKAL KUKUH

Franklin Templeton Investments berkata sukuk korporat Malaysia berada pada kedudukan yang ‘menarik’ pada masa ini, dengan asas korporat kekal kukuh manakala harga ingkar kekal rendah.

“Dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang stabil dan pertumbuhan ekonomi yang baik, kami terus memihak kepada sukuk korporat, yang pada amnya menawarkan peningkatan hasil berbanding Sekuriti Kerajaan Malaysia,” kata firma pelaburan globa itul.

Franklin Templeton Investments merupakan antara syarikat pertama melabur dalam kelas aset sukuk dan kini merupakan antara pengurus pelaburan bebas terbesar untuk sukuk. – MalaysiaGazette