Zeti Akhtar Aziz

KUALA LUMPUR- Hanya bayi yang lahir sehingga 31 Disember ini sahaja layak untuk memiliki Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) kerana skim tersebut akan ditamatkan lebih awal iaitu pada hujung tahun ini berbanding perancangan asal iaitu tahun 2022.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, skim berkenaan ditamatkan kerana sambutan yang rendah di mana hanya sekitar 25 peratus bayi yang dilahirkan pada tahun 2018 mendaftar untuk menyertai inisiatif tersebut.

Selain itu, kekangan kewangan kerajaan juga menyebabkan skim yang memperuntukkan simpanan awal secara percuma berjumlah RM200 melalui unit dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) kepada semua bayi yang dilahirkan bermula 1 Januari tahun ini terpaksa dihentikan.

“ADAM50 akan ditamatkan pada hujung tahun ini bagaimanapun bagi bayi yang lahir dalam tahun 2018 dan masih belum mendaftar, pendaftaran dilanjutkan sehingga Mac tahun depan.

“Inisiatif ini menerima respon yang sangat rendah dengan hanya 25 peratus bayi dilahirkan pada 2018 mendaftar di dalam program ini.

“Selain itu, dana sebanyak RM10 juta yang diperuntukkan kerajaan untuk ADAM50 telah pun habis digunakan dan melihat kepada keadaan kewangan kerajaan ketika ini, mereka sudah tidak mampu untuk memberi peruntukan tambahan.

“Dengan itu, PNB terpaksa menyediakan peruntukan tambahan tersebut sebanyak RM10 juta sehingga RM20 juta bagi memastikan semua bayi yang dilahirkan sehingga 31 Disember ini layak untuk mendaftar ADAM50,” katanya semasa sidang media selepas mengumumkan agihan pendapatan ASB dan ASN di sini hari ini.

ADAM50 adalah satu skim yang dijalankan oleh kerajaan Barisan Nasional dan diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika Bajet 2018.

Di bawah skim yang diuruskan PNB itu, seseorang bayi yang dilahirkan dalam tempoh 1 Januari 2018 sehingga 2022 bakal menerima simpanan awal bernilai RM200 melalui unit di dalam ASB dan ASN selagi bayi tersebut membuat pendaftaran dalam tempoh setahun selepas dilahirkan.

Dana itu bagaimanapun tidak boleh dikeluarkan sehingga bayi berkenaan mencapai usia 18 tahun.

Dalam perkembangan berbeza, Zeti memaklumkan projek Menara KL118 berjalan mengikut jadual yang mana ketika ini sudah 42 tingkat telah berjaya disiapkan.

Katanya, PNB ketika ini sedang aktif mencari penyewa untuk menara yang apabila siap nanti merupakan bangunan tertinggi di negara ini.

“Kami sedang berunding dengan penyewa-penyewa berpotensi yang mana hampir 50 peratus sudah hampir untuk dimuktamadkan.

“Kami bukan sahaja mencari penyewa dari dalam negara tetapi turut memberi fokus kepada penyewa-penyewa dari luar negara dan bukannya penyewa sedia ada di Malaysia,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast