KUALA LUMPUR – Kepincangan serta kemelut dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin hari semakin ketara.
Ia seolah-olah sudah tidak boleh disembunyikan lagi.
Malah prinsip ketelusan serta perjuangan reformasi selama lebih 20 tahun itu semakin tercemar dengan pelbagai dakwaan skandal dan salahguna kuasa oleh segelintir puak dan kroni segelintir pemimpin.
Saling tuduh-menuduh, saling bertikam lidah dan mengeluarkan kenyataan secara terbuka, menghina serta menyoal kesetiaan masing-masing kini adalah amalan biasa dalam parti yang mendukung prinsip reformasi dahulunya.
Pada minggu lepas kecoh apabila Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bertindak meletak semua jawatan dalam parti dan kerajaan selepas Latheefa Koya menuduh wujudnya amalan berpuak-puak serta nopotisme dalam parti sehingga melantik ahli keluarga sendiri untuk jawatan pengerusi negeri.
Selang beberapa hari kemudian, timbul pula sekumpulan yang mendesak tindakan disiplin diambil terhadap bekas kepimpinan tertinggi pusat itu dengan alasan beliau bertindak melemparkan fitnah serta merosakkan imej parti.
Latheefa pula kembali membalas tindakan dua bekas pimpinan pusat PKR, Ketua Penerangan PKR Cabang Klang, Mohd Farazi Mohd Shah dan Naib Ketua Cabang PKR Indera Mahkota, Kamarul Hatta Mohamed Ali dengan mengatakan ianya tidak lebih daripada ‘taktik jelik ala UMNO’.
Selang beberapa lama kemudian, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil masa hampir sebulan ‘berunding’ sebelum membuat lantikan pengerusi negeri-negeri.
Jelas beliau, tidak wajar semua pihak terus mempertikaikan pelantikan yang dilaksanakan presiden parti kecuali presiden langsung tidak berunding dan menggunakan kuasa dan mengumumkan pengerusi-pengerusi negeri.
“Ada ketua-ketua cabang dia (Anwar) panggil ke pejabatnya dan ada yang dia sendiri turun ke cabang itu untuk berunding. Saya tahu sebelum dia bercuti, negeri terakhir dia sampai berunding ialah Sabah dan Sarawak dan memenuhi ketetapan yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti,” katanya.
Pertikaian lantikan pengerusi negeri dengan masing-masing terus melahirkan rasa tidak puas hati. Ada yang mendakwa walaupun mendapat sokongan majoriti namun jawatan itu tetap diberikan kepada yang ‘tidak layak’.
Malah, hampir 90 peratus adalah orang-orang berkepentingan satu kem sahaja iaitu pihak yang dikatakan ‘rapat’ dengan Rafizi dengan campur tangan oleh ‘tangan-tangan ghaib’.
Rafizi Ramli juga dijangkakan akan dilantik menjadi naib presiden melalui lantikan oleh kepimpinan tertinggi namun tidak menjadi realiti.
Menurut sumber tertinggi parti kepada MalaysiaGazette semalam, tindakan yang cuba dikenakan terhadap Latheefa sebenarnya tidak adil dan merupakan tindakan amat terdesak oleh segelintir yang cuba ‘mendiamkan’ peguam itu.
“Betul kata Latheefa, ini sudah seperti cara UMNO. Ini bukan lagi prinsip amalan PKR. Ini UMNO. Ini gaya dan cara UMNO. Mengapa? Apa yang hendak ditakutkan sangat dengan Latheefa? Jangan lupa, beliau adalah antara akar umbi setia dengan perjuangan dengan parti.
“Kalau dulu beliau lantang, tidak apa. Kini kala Latheefa yang sama tidak berubah demi kelangsungan parti, anda mahu diamkan beliau? Selepas kuasa dalam tangan? Ini tidak betul,” ujarnya.
Tambah sumber itu lagi, kenyataan oleh Saifuddin Nasution yang begitu ‘bermatian-matian’ mempertahankan tindakan Presiden PKR dalam lantikan pengerusi negeri walaupun ramai tidak berpuas hati membuktikan kebenaran ‘sesuatu yang tidak kena’ ketika ini.
“Saifuddin begitu mempertahankan lantikan pengerusi ini, walaupun kebanyakan lantikan ini menyebabkan ramai marah. Ramai tidak puas hati, ramai yang sepatutnya dicalonkan sebagai pengerusi tidak dilantik sebaliknya kroni tertentu yang tidak mendapat sokongan pula diangkat naik.
“Yang bertanya cuba dikenakan tindakan disiplin. Jika begini caranya anda melantik ‘suka suka’ mengapa pula perlu diadakan pilihan raya dan membazir wang parti dan masa ahli? Untuk gimik? Jika semua keputusan serta strategi sudah dilakukan terlebih dahulu.
“Adakah untuk kaburkan mata semua khasnya yang begitu setia dengan parti selama ini? Adakah juga strategi ini digunakan untuk ‘membunuh’ kem Azmin secara senyap? Apa yang kami dikhuatirkan selepas ini, apakah masa depan Azmin dalam parti?
“Sekarang lagi sudah ada ura-ura mengatakan beliau mungkin sedang dipancing masuk BERSATU? Azmin adalah aset kepada PKR, apakah niat kumpulan ini untuk membunuh karier politiknya dalam parti bagi kepentingan pihak tertentu.
“Jelas sekali Azmin lebih disenangi, jika tidak masakan boleh menang? Masakan hampir setiap cabang menyukai pimpinan dalam kem beliau?
“Janganlah sampai hilang beliau yang akhirnya akan merugikan parti hanya kerana kepentingan segelintir pihak untuk agenda tertentu,” tegas sumber itu.
MalaysiaGazette juga difahamkan, dalam masa terdekat akan ada sidang media yang mendesak dan membuat pendedahan berhubung krisis terutamanya tentang pemilihan Pengerusi Negeri PKR kerana masih tidak berpuas hati. – MalaysiaGazette