Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua kanan) berbual bersama Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 Disember 2018

KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi (MT) UMNO bersetuju memberi autonomi penuh kepada UMNO Sabah dan setiap negeri untuk menyusun sendiri strategi ke arah memperkasakan parti.

Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, pihaknya melihatkan itu kaedah terbaik bagi UMNO untuk kembali pulih dari kejatuhan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu dan tindakan sebilangan besar Ahli Parlimen serta Ketua Bahagian keluar parti.

“Mesyuarat hari ini, kita (MT) bersetuju memberi autonomi penuh kepada UMNO Sabah dan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri. Walaupun di Sabah ramai Ahli Parlimen dan ketua bahagian keluar parti, kita akan pastikan mereka yang ada bangkit semula,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan kali pertama Mesyuarat Khas MT UMNO hari ini.

Hadir sama, Naib-Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mohamed Khalid Norden; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; dan Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Zahid Zarik Khan.

Ditanya agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat khas itu, Mohamad berkata, MT membincangkan bagaimana UMNO akan menjadi jurubicara rakyat dengan setiap pemimpin di negeri mengutip dan mengumpul apa sahaja yang dihadapi rakyat.

Katanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menjadi pembangkang yang berkesan dengan agenda utamanya membela rakyat supaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak sewenang-wenangnya mempermainkan rakyat.

“Dalam mesyuarat khas ini juga kita banyak membincangkan isu semasa dan MT telah mengambil beberapa pendekatan yang dapat memberi manfaat kepada parti untuk terus bergerak ke depan, selain sebagai pembangkang dan jurucakap rakyat,” katanya.

Beliau berkata, MT juga menerima keputusan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menyerahkan tugas-tugas Presiden UMNO kepada Timbalan Presiden berdasarkan surat yang dihantarnya kepada ibupejabat parti.

“Kita juga berbincang secara panjang lebar mengenia hala tuju parti yang mana sebelum ini ada yang menyatakan (UMNO) tidak ada hala tuju.

“Antara hala tuju kita ialah mengambil keputusan jadi jurubicara rakyat. Usaha untuk perkasakan parti sebagai teras utama untuk kita bangkit dan bangun serta menjadi pembangkang yang efektif dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

“Kita akan kutip apa saja isu dan masalah rakyat termasuk kehimpitan rakyat dengan harga komiditi yang menurun,” katanya.

Mohamad turut menjelaskan matlamat UMNO ialah untuk menang dalam PRU ke-15 akan datang. – MalaysiaGazette