KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM164.7 juta bagi membiayai Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada 274,639 pekebun kecil getah yang berdaftar denganPihak Berkuasa
Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
Jumlah ini meliputi 255,997 pemilik pengusaha iaitu pekebun yang mengusahakan sendiri kebun dengan keluasan tidak melebihi 2.5 hektar dan 18,642 orang penoreh bukan pemilik.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mereka akan menerima bantuan sebanyak RM600 dan akan dibayar dalam dua berperingkat, RM300 pada akhir tahun ini dan RM300 lagi pada awal tahun 2019.
“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) beriltizam untuk terus memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan peneroka dan pekebun kecil getah bagi merealisasikan usaha pembangunan
ekonomi yang inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kerajaan amat menyedari bahawa penoreh dan pekebun kecil getah adalah mereka yang terkesan secara langsung berikutan kemerosotan harga komoditi getah di peringkat global.
“Keadaan ini semakin meruncing akibat musim tengkujuh yang menjejaskan penjanaan ekonomi mereka,” tambah beliau.
Mohamed Azmin berkata, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad amat cakna dan prihatin dengan kesulitan yang dihadapi oleh penoreh dan pekebun kecil getah.
Katanya, walaupun kerajaan menghadapi kekangan kewangan, Perdana Menteri menegaskan agar agenda untuk menjaga kepentingan golongan berpendapatan rendah, khususnya penoreh dan pekebun kecil getah, diberi keutamaan oleh kementerian-kementerian yang berkaitan. – MalaysiaGazette