KUALA LUMPUR – Penurunan harga minyak di pasaran dunia seharusnya turut memberi impak positif kepada harga bahan itu di Malaysia.
Malah, melihat kepada harga semasa minyak di pasaran global, kerajaan seharusnya mengambil pendekatan mengkaji harga bahan mentah itu secara mingguan selaras dengan pandangan diberikan banyak pihak.
Begitu pandangan yang telah dilontarkan oleh Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor (JICCI), Johor, Tan Sri Dr. K. Kenneth Eswaran dalam laman sosial Facebook beliau sebentar tadi.
Jelas Kenneth, ini adalah masa yang amat sesuai untuk kerajaan mendahulukan keperluan rakyat, dengan cara menurunkan harga petrol khususnya RON95 agar selaras dengan harga bahan itu di pasaran global.
“Kerajaan perlu serius melihat bebanan dan tanggungan yang sedang dihadapi oleh rakyat saban hari. Ini adalah hal kebajikan serta kepentingan rakyat.
“Kerajaan perlu memastikan pengguna tidak terbeban dan membayar petrol pada kadar lebih tinggi iaitu RM2.20 seliter bagi RON95 sedangkan harga di pasaran dunia semakin menurun.
“Malah, negara seperti India mengkaji harga petrol secara harian untuk makluman umum.
“Apabila kerajaan membuat keputusan penetapan harga RON95 sebanyak RM2.20 seliter pada 30 Mei 2018, minyak mentah Brent pada waktu itu hanya berharga AS$76.98 setong.
“Tetapi, nilai itu bagaimanapun menjunam kepada AS$53.82 setong hari ini,” katanya sebentar tadi.
Jelas beliau, setiap keputusan kerajaan perlu fokus dan memberi keutamaan kepada rakyat terlebih dahulu.
Hari ini, kerajaan membuat pengumuman akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari depan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, langkah itu sejajar dengan trend penurunan harga pasaran minyak dunia pada ketika ini
Kata beliau, langkah itu memberikan kelebihan kepada pengguna sekiranya harga minyak dunia sedang naik tetapi memandangkan trend harga minyak adalah menurun kerajaan sedia menukarkan asas penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan.
“Ini bermakna kaedah penetapan harga secara bulanan di bawah mekanisme harga automatik (APM) akan digantikan dengan penetapan harga jualan runcit secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia menurun.
“Penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan akan dilaksanakan mulai 1 Januari depan bagi membolehkan pengguna menikmati perubahan harga yang lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia,” katanya.
Jelas Guan Eng, harga runcit produk petroleum dijangka turun mulai 1 Januari 2019 dan sekiranya trend penurunan harga minyak sedunia diteruskan maka harga minyak runcit akan diturunkan setiap minggu.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata berdasarkan sistem mekanisme harga automatik (APM) yang diguna pakai kerajaan lama, harga RON95 sekarang sepatutnya RM1.86 seliter.
Kata beliau, data terbaru hari ini menunjukkan harga purata Means of Platts Singapore (Mops) untuk petrol RON95 jatuh kepada AUD$0.519 seliter pada akhir minggu lepas berbanding AUD$0.538 untuk minggu sebelum itu. –MalaysiaGazette