Azwanddin hampir tersemban ke tanah ketika turun dari trak polis semasa hendak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Pihak Polis hari ini menafikan bertindak kasar terhadap Datuk Azwanddin Hamzah semasa beliau ditahan dan dibawa ke Mahkamah semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pada 27 Disember 2018 jam 9.30 pagi Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia itu dibawa ke Mahkamah Klang bagi tujuan permohonan perintah tahanan reman.

“Ia bertujuan untuk membantu siasatan berhubung laporan oolis yang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Beliau telah digari di tangan kanan bersama dua orang tahanan yang lain dan telah terjatuh ketika dalam perjalanan masuk ke bangunan mahkamah selepas turun dari kenderaan polis.

“Polis menafikan telah bertindak kasar terhadap Azwanddin seperti yang tular di laman media sosial,” katanya dalam kenyataan dekat sini petang tadi.

Tambah beliau, hasil semakan mendapati ketika turun dari kenderaan polis, beliau hampir tersungkur akibat tersadung dan terlanggar pasu bunga ketika melambai tangan kepada penyokong yang hadir disebabkan tahanan yang berkongsi gari berjalan laju.

“Anggota polis yang bertugas bertindak membantu mengangkat beliau semula.

“Lagipun Datuk Mohd Imran Tamrin, peguam mewakili Azwanddin turut mengeluarkan kenyataan media bahawa telah mendapat kerjasama yang baik dari polis.

“Orang ramai dinasihati supaya tidak menyebar atau memutar belit insiden ini kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab ini boleh menjejaskan ketenteraman awam dan membangkitkan keresahan masyarakat,” tegasnya.

Menurut beliau, tindakan penyebaran berita yang palsu boleh diambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 atau Akta Hasutan 1948. – MalaysiaGazette