Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bercakap kepada media pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 29 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini telah mengambil alih peranan UMNO dalam memperjuangkan nasib orang Melayu dan bumiputera di negara ini.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, mesej itu disampaikan ketika ucapan dasar pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini.

Kata Menteri Besar Kedah itu, mesej itu bagi menjelaskan apa yang perlu difahami ahli-ahli UMNO.

“Kami pun dulu dari kilang UMNO juga dan apabila kita berpegang kepada alif, ba, ta iaitu agama, bangsa dan tanah air namun kemudiannya dikhianati oleh UMNO itu sendiri.

“Menerusi ucapan dasar Pengerusi Bersatu yang kini parti telah mengambil alih peranan UMNO, secara automatik ahli UMNO sepatutnya melihat Bersatu sebagai wadah perjuangan baharu orang Melayu dan bumiputera di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ucapan dasar oleh Mahathir pada Perhimpunan Agung Tahunan kali kedua di sini, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Abdul Rahman pula berkata ucapan Mahathir telah memberi harapan baharu kepada orang Melayu kerana menyentuh beberapa isu dasar.

“Antaranya mengenai pemerkasaan AIM sebagai jalan membantu kaum wanita serta rancangan untuk memastikan lebih banyak anak muda mendapat peluang pekerjaan yang bagus seperti latihan yang secukupnya.

“Akhirnya kekosongan peluang pekerjaan dapat diisi oleh anak muda tanpa mengharap tenaga luar,” katanya. – MalaysiaGazette