PUTRAJAYA – Seluruh jentera Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) dan Srikandi perlu fokus kepada matlamat perjuangan untuk melindungi Melayu dan Bumiputera.
Ketua Armada Lumut, Akmal Maradzi ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, amanat yang disampaikan oleh Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya pemimpin dan ahli parti mempertahankan hak bangsa merupakan satu wasiat yang cukup penting untuk mengangkat martabat bangsa agar tidak ketinggalan.
“Inilah masa terbaik kepada pemimpin-pemimin Bersatu terutama di sayap parti untuk fokus bagi mencari lebih ramai lagi ahli mendaftar selepas ini.
“Dengan keahlian yang ramai dan kuat ini, sudah pasti agenda perjuangan parti akan dapat digalas dengan penuh tanggungjawab dan menyeluruh, sekaligus dirasai oleh seluruh umat Melayu dan Bumiputera di negara ini,” katanya.
Akmal berkata, dalam mengukuhkan perjuangan gesaan Ketua Armada, Syed Saddiq Abdul Rahman supaya lebih banyak ruang dan kedudukan diberi kepada anak muda termasuk wanita muda dalam parti wajar untuk diberikan perhatian.
Ini kerana katanya, Bersatu merupakan parti yang mesra untuk orang muda.
“Kita mesti angkat suara mereka. Langkah ini bukan hanya membuka lebih banyak peluang dalam kalangan anak muda untuk bersuara, malah, mengangkat darjat anak muda itu sendiri bagi menjadi sebahagian daripada kelompok terpenting dalam mengorak kemajuan negara.
“Hasrat murni ini sudah pastinya mampu memenuhi matlamat perjuangan BERSATU itu sendiri untuk mengangkat dan memperkasa agenda Bumiputera dalam kerajaan.” ujarnya.
Tambah beliau, orang muda mesti diberi ruang yang secukupnya untuk mereka menimba pengalaman dan sebagai kesinambungan golongan tersebut akan lebih mudah untuk memahami pengisian-pengisian yang akan dinukilkan dalam agenda Bumiputera baharu kelak.
Katanya lagi, orang muda akan menjadi jentera paling hadapan dalam perjuangan terhadap usaha yang akan dan sedang dilaksana kerajaan menerusi agenda itu.
Jelasnya, di peringkat sayap, Armada dan Srikandi perlu sama-sama teguh memperkukuhkan sayap Bersatu kerana kesinambungan perjuangan sesebuah parti boleh hancur jika pewarisnya lemah dan berpecah belah. – MalaysiaGazette