Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bercakap kepada media pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 29 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengambil langkah positif berhubung langkah mempertahankan ayahnya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Ketika ditemui media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, anak kelima Pengerusi Bersatu itu menegaskan, cadangan supaya Mahathir dikekalkan jawatan sebagai orang nombor satu dalam kerajaan merupakan perkara yang baik ketika negara berada dalam proses pemulihan.

“Perkara ini sensitif sikit sebab saya anak kepada Perdana Menteri. Terpulang ada macam-macam cadangan yang telah dikemukakan pelbagai pihak Tun (Dr Mahathir) sendiri pun pernah nyatakan bahawa ini bergantung kepada pandangan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.

“Pendirian daripada rakyat sendiri, jadi apa juga komen-komen seperti itu saya kira perlu diambil kira sebelum sebuah keputusan dicapai. Jadi saya ingat perbincangan seperti itu tentunya akan dibuat di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan,” katanya.

Menurut Muhkriz lagi, mewarisi sebuah kerajaan yang teruk bukanlah satu perkara mudah sebaliknya, ia perlu dilaksanakan dengan betul dan bijaksana.

Sehubungan itu kata beliau, adalah lebih baik sekiranya, Mahathir diberikan ruang yang seluas-luasnya untuk memperbetulkan keadaam sebelum beliau menyerahkan jawatan tersebut kepada pengantinya.

Terdahulu, terdengar ura-ura menyatakan bahawa ada perwakilan yang mengikuti perhimpunan berkenaan mahu mengusulkan agar Mahathir dibenar memegang jawatan itu sehingga Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).

Sumber itu memberitahu media, usul itu dibuat dalam sesi perbahasan ucapan Dasar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berlangsung pagi tadi.

Usul itu didakwa dibuat oleh seorang perwakilan dari Kelantan.

Sementara itu, Mukhriz ketika mengulas lanjut berhubung perkara tersebut berkata, cadangan tersebut tidak dianggap sebagai satu perkara yang bertentangan.

Ini kerana katanya, perancangan untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan masih lagi diteruskan namun semua itu bergantung kepada masa yang sesuai.

“Kita kena pastikan semua apa yang kerajaan perlu selesaikan dahulu dan kemudian baru kita rasa selesa dengan situasi itu,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/12/30/perwakilan-bersatu-usul-tun-m-pegang-pm-sampai-pru-15/