PUTRAJAYA – Bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berharap ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak risau dengan kemasukan bekas pemimpin UMNO ke dalam parti itu.
Beliau yang baru diterima menjadi ahli Bersatu berkata, kehadiran dirinya dan rakan-rakan lain bukan kerana mengejar pangkat dan jawatan.
Sebaliknya kata bekas ahli UMNO itu, beliau sedia berkongsi pengalaman dengan ahli-ahli Bersatu yang baru dua tahun ditubuhkan.
“Saya harap mereka (ahli Bersatu) tiada salah tanggapan mengenai kemasukan kami kerana tidak inginkan jawatan dan pangkat.
“Saya juga bersedia memberi nasihat dan berkongsi pengalaman dengan ahli Bersatu dan bukannya sebagai saingan kepada mereka.
“Saya telah jelaskan saya cuma ahli biasa dalam parti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas ucapan dasar Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad Pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di sini malam ini.
Dalam ucapannya, Mahathir berkata bekas pemimpin UMNO tidak dibenarkan memegang jawatan dalam Bersatu hingga Pilihan Raya Umum ke-15.
Pada masa sama, Mahathir berpesan kepada ahli Bersatu agar tidak risau mengenai kemasukan bekas ahli UMNO dalam parti berkenaan kerana terdapat syarat-syarat ditetapkan. – MalaysiaGazette