Bersatu
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap ketika sesi sidang media pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 29 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Cadangan untuk melanjutkan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri selama sepenggal perlu dibawa ke Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya akan memberi sokongan penuh terhadap Mahathir mengikut keputusan yang akan dibuat olehnya.

“Seperti yang saya tekankan sebelum ini, saya rasa usul-usul seperti ini memang datang daripada akar umbi dan harus dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.

“Pemuda Bersatu akan beri sokongan penuh kepada Tun mengikut cita rasa Tun. Kita kena dengar (pandangan) Tun dan kita akan sokong Tun,” katanya ketika ditemui media pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan daripada Bersatu bahagian Setiawangsa yang mahu agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga penggal berikutnya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, perkara tersebut bukanlah pertama kali dibangkitkan.

Malah, pada 3 November lepas, Mahathir sendiri berjanji akan menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar selepas dua tahun.

Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut memberikan pandangannya apabila merasakan ayahnya perlu diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk memperbetul keadaan negara yang teruk sebelum menyerahkan jawatannya kepada pengganti.

Mukhriz turut bersetuju agar perkara tersebut dibawa untuk dibincangkan di peringkat Majlis Presiden PH.

Terdahulu, salah seorang perwakilan Bersatu dari Kelantan mencadangkan agar jawatan perdana menteri yang disandang Mahathir dikekalkan sehingga PRU-15.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, salah seorang anggota Majlis Kepimpinan Tertinggi Bersatu mengulangi pendirian Bersatu untuk menyokong peralihan kuasa yang telah dipersetujui sejak penubuhan PH tahun lalu. – MalaysiaGazette