KUALA LUMPUR – Teka-teki siapa sebenarnya yang akan menjadi pilihan sebagai calon bagi kerusi P078 Cameron Highlands dalam kalangan pimpinan MIC terus menjadi satu persoalan sehingga kini.

Sehingga kini, tiada siapa dapat meneka apakah sebenarnya ada dalam benak fikiran dan hati Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

MGF10102018_PENAMAAN CALON MIC_15
Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran

Tetapi apa yang lebih memeranjatkan, ramai juga yang sudah ‘melobi’ diri sendiri bagi kerusi tersebut walaupun mereka sendiri tidak tahu atas kapasiti apa mereka perlu dipilih bagi memastikan kemenangan kerusi tradisi MIC itu.

Secara umum, tidak ada sesiapa yang menyangka akan kekalahan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas namun kerusi Cameron Highlands dimenangi oleh bekas penyandangnya, Datuk C. Sivarraajh.

Ramai yang membuat ramalan antara kerusi MIC yang mungkin kalah pada PRU-14 adalah Cameron Highlands sebaliknya Sivarraajh menang dengan lebihan undi sebanyak 567 undian.

Malangnya, kemenangan kerusi tersebut dibatalkan baru-baru ini walaupun diberi peluang untuk membuat rayuan, MIC bertindak untuk tidak membuang masa sebaliknya bertanding sekali lagi kerana yakin rakyat memihak kepada mereka.

Hakikat itu mungkin juga ada kebenaran kerana baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengakui kesukaran untuk menang kerana ianya disifatkan ‘depositi tetap BN’ untuk sekian lama.

Malah untuk DAP menang, mereka kembali memerlukan sokongan tetap daripada masyarakat Cina dan India seperti sebelum selain daripada meningkatkan lagi undi dari kaum Melayu dan Orang Asli.

Dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini sejak menerajui negara selama hampir tujuh bulan dengan pelbagai macam isu selain daripada janji pilihan raya yang belum tertunai, mungkin ada cabaran di situ.

Namun laluan untuk MIC untuk sedikit ‘mudah’ dengan adanya sokongan kuat daripada barisan komponen termasuk UMNO dalam membantu mereka selain ikrar Pas yang bukan sahaja tidak akan meletakkan calon mereka sebaliknya akan turun berkempen juga bagi MIC.

Tapi soalnya, siapakah calon paling layak menggantikan Sivarraajh yang tidak dibenarkan untuk bertanding atau mengundi untuk tempoh lima tahun akan datang walaupun ketika ini MIC masih melakukan semakan kehakiman namun keputusan Naib Presiden MIC  masih ‘malap’ kembali sebagai calon.

Antara nama yang dikatakan hampir 90 peratus pilihan adalah Naib Presiden MIC merangkap bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah juga dikatakan sudah mula ‘berkempen’ dan mendekati masyarakat di Cameron Highlands.

Ada juga video tular beliau sedang menari dengan masyarakat Orang Asli di sana selain mengadakan lawatan ke kawasan-kawasan dianggap kubu kuat BN.

Selain daripada nama beliau, sudah ada nama-nama seperti bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga pernah menjadi Ahli Parlimen Cameron Highlands sebelum ini, Datuk Seri SK Devamany yang ‘hilang dari radar’ untuk seketika namun kembali aktif sejak beberapa minggu lepas.

Ada juga nama seperti bekas calon Naib Presiden MIC yang kalah kepada Murugiah, AK Ramalinggam dikatakan aktif ‘berkempen’ selain membantu jentera MIC di sana mungkin berpeluang menjadi calon.

Ada juga cadangan adalah lebih baik calon muka baharu seperti Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Usha Nanthini Jayaram diberikan peluang apatah lagi jarang sekali calon wanita dapat bertanding pilihan raya.

MGF08112017_UshaNanthini05
Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Usha Nandhini Jayaram

Usha juga bukan calon calang-calang kerana mempunyai kelulusan undang-undang dari Universiti London selain daripada mempunyai kepakaran dalam bidang Antropologi, Sosiologi dan Sejarah dari Universiti Malaya.

Selepas itu, beliau dilantik menjadi Ahli Dewan Negara dan pernah juga menjadi Ketua Puteri Kebangsaan MIC.

Jangan lupa juga, antara punca kemenangan MIC terutama dalam kalangan masyarakat India terdiri daripada golongan wanita, mungkin kumpulan itu dapat diangkat martabatnya dengan meletakan calon wanita sekaligus memberi peluang lebih luas untuk kemenangan?

Selain daripada Usha, mungkin juga sama seperti sebelum ini, Sivarraajh diberikan peluang bertanding atas tiket Ketua Pemuda Kebangsaan yang disandangnya, mungkin peluang sama boleh diberikan sama ada kepada muka baharu lantang seperti Ahli Jawatankuasa Pusat, P. Punithan.

Sumber memberitahu MalaysiaGazette, keputusan terhadap semakan kehakiman berhubung tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya adakah Sivarrajh berpeluang untuk bertanding juga akan keluar selewat-lewatnya Selasa depan.

P. Punithan

“Mungkin juga Sivarraajh masih ada peluang, kita tidak pasti. Jika semakan kehakiman berpihak kepada Sivarraajh, mungkin masih lagi berpeluang menjadi calon,” ujarnya.

Walau apa pun, adalah baiknya untuk membuat keputusan paling tepat berhubung calon kerana peluang untuk MIC menang adalah besar, ada juga baiknya hentikan mainkan isu kasta atau letak calon ‘kalah’ sebaliknya yang terbaik.

Ini adalah perang do or die, sekiranya menang mungkin parti terbesar masyarakat India yang pernah melalui zaman kegemilangan selama puluhan tahun itu boleh kembali menjadi lebih relevan, Cameron Highlands adalah penentunya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast