KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Bakar hari ini mengumumkan pengisian jawatan baharu dan kenaikan pangkat Ketua-Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian.
Katanya, pengisian jawatan itu berikutan kekosongan akibat persaraan wajib dan tamat tempoh kontrak penyandang serta mengambil kira keperluan untuk dibuat pusingan penempatan dalam kalangan KSU kementerian sedia ada.
Antara yang terlibat dengan pertukaran ialah Datuk Seri Saripuddin Kasim dari KSU Kementerian Pengangkutan ke Kementerian Wilayah Persekutuan, manakala Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Timbalan KSU (Dasar) Kementerian Pengangkutan dinaikkan pangkat ke jawatan KSU Kementerian Pengangkutan.
KSU Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim pula ditukarkan ke Kementerian Kerja Raya, manakala KSU Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Ghazali Abas dipindahkan ke Kementerian Dalam Negeri.
Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan yang memegang jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pentadbiran) dinaikkan pangkat ke jawatan KSU Kementerian Pendidikan.
Begitu juga Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, New York, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dinaikkan pangkat ke jawatan KSU Kementerian Luar Negeri.
Timbalan KSU (Kepenggunaan dan Pengurusan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Muaz Abdul Aziz dinaikkan pangkat sebagai KSU KPDNHEP.
Datuk Dr Tan Yew Chong, KSU Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pula ditukarkan ke Kementerian Industri Utama untuk jawatan sama, KSU.
KSU Kementerian Industri Utama, Datuk Zurinah Pawanteh ditukar ke Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli kekal sebagai KSU.
Datuk Isham Ishak, KSU Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dipindahkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, manakala Datuk Lokman Hakim Ali, yang memegang jawatan KSU Kementerian Belia dan Sukan ditukarkan ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Dr. Waitchalla R.R.V Suppiah yang sebelum ini adalah Timbalan KSU (Operasi) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dinaikkan pangkat sebagai KSU di Kementerian Belia dan Sukan.
Menurut Dr Ismail, pertukaran dan kenaikan pangkat itu adalah langkah pembaharuan kepada perkhidmatan awam yang merupakan elemen penting dan tulang belakang pentadbiran negara.
“Saya percaya pengisian jawatan KSU ini akan memperkukuhkan lagi barisan pengurusan tertinggi di peringkat kementerian dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan dengan berkesan dan memberikan perkhidmatan terbaik demi kemakmuran rakyat dan negara. – MalaysiaGazette