Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad
Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih kekal memegang jawatan Presiden UMNO walaupun beliau mengambil ‘cuti’ dan menyerahkan tugas-tugas presiden kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Penganalisis politik, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad telah meneliti klausa dan perkara dalam perlembagaan parti dan mendapati tidak ada istilah “Presiden Bercuti” seperti tuntutan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan beberapa pemimpin sebelum ini.

Dengan kata lain, sayap parti itu atau pemimpin yang menuntut Ahmad Zahid supaya bercuti dari jawatan presiden tidak membuat penyelidikan secara tuntas perlembagaan parti sebelum membuat kenyataan tersebut.

“Saya terpanggil untuk berkongsi jikanya dilihat sebagai keperluan kepada kebanyakan ahli UMNO mengetahui status sebenar dan kedudukan Presiden yang dipilih secara sah oleh perwakilan UMNO seluruh negara dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

“Seperti yang kita maklum, presiden parti  Ahmad Zahid telah menyerahkan  tugas beliau kepada timbalannya, Mohamad untuk menjalankan tugas-tugas presiden.

“Ini secara tidak langsung Naib Presiden 1 UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjalankan tugas-tugas timbalan presiden,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kata Wan Khairul Ihsan, kenapa beliau menggunakan istilah ‘menjalankan tugas-tugas’ tidak istilah ‘memangku’.

Ini kata ujar beliau, tidak ada istilah ‘pemangku presiden’ selagi presiden masih memegang jawatannya.

Jelasnya, ‘pemangku’ hanya akan wujud jika Presiden UMNO tidak lagi memegang jawatan tetapi dalam hal ini Ahmad Zahid tidak berbuat demikian dan tidak hilang jawatan presiden.

“Oleh itu, istilah ‘pemangku’ tidak boleh digunakan oleh Mohamad atau Tok Mat dan juga tidak boleh digunakan oleh Ismail Sabri di jawatan Timbalan Presiden UMNO. Itu asasnya.

“Bagaimana dan bila pula istilah ‘pemangku’ digunapakai? Keadaan di mana Ahmad Zahid hilang jawatan atau letak jawatan atau disingkirkan melalui dua per tiga undi perwakilan seluruh negara melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

“Jika kedua-dua keadaan ini berlaku, maka istilah ‘pemangku’ boleh digunakan untuk bagi jawatan presiden dan timbalan presiden,” katanya.

Justeru, menurut Wan Khairul Ihsan, jika keadaan itu tidak berlaku presiden masih kekal, maka tidak boleh ada pemangku bagi jawatan penting itu.

Katanya, apa yang berlaku hari ini ialah Presiden UMNO menyerahkan tugas-tugas presiden kepada timbalan presiden untuk dilaksanakan dan Timbalan Presiden UMNO menyerahkan tugas-tugas timbalan kepada Naib Presiden 1 untuk dilaksanakan.

Ini adalah perkara yang perlu ahli parti faham dan dengan kata lain, dalam majlis atau apa juga bentuk surat menyurat perlu betul ‘alamat’ tersebut.

“Jangan pula ada pengacara majlis menggunakan istilah ‘pemangku presiden’ kepada Tok Mat yang hadir ke majlis parti atau surat menyurat.

“Hakikatnya, Presiden UMNO yang sah masih lagi Ahmad Zahid dan Timbalan Presiden juga masih Tok Mat serta begitu juga Naib Presiden satu, dua dan tiga, tidak berubah.

“Apa yang berubah hanyalah tugas-tugas mereka termasuklah dua lagi Naib Presiden yang harus menjalankan tugas dan tanggungjawab yang pernah diberikan kepada Naib Presiden 1 sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette