BELIAU berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Universiti Bradford, United Kingdom.
Namun bagi Iskandar Syah Ismail, 43, beliau tahu bidang kejuruteraan bukanlah kena dengan ‘jiwanya’.
Tetapi untuk lari dari bidang tersebut bukan mudah, apatah lagi bila mengenangkan harapan keluarga, penaja dan pelbagai faktor lain hingga menjadikan beliau tertekan dengan keadaan sekeliling.
Keadaan menjadi lebih parah kerana sewaktu beliau pulang ke tanah air, negara mengalami kegawatan ekonomi hingga menyukarkan beliau mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan minatnya.
Satu-satunya peluang yang beliau ada ketika itu adalah bertugas sebagai eksekutif projek dengan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) pada tahun 2000, kerjaya yang banyak terlibat dalam tugas-tugas pemasaran.
Walaupun bidang pemasaran merupakan satu perkara yang ‘asing’ dalam dirinya, Iskandar mengambil keputusan untuk menyahut cabaran dengan menyertai majlis tersebut.
” Ketika inilah saya berpeluang melawat wad kanak-kanak di hospital, masa tu saya dapati kehidupan di wad tersebut agak membosankan. Saya terfikir macam mana hendak menambah baik keadaan di situ. Saya ingat nak buat mural di dinding wad tetapi ia tidak bersifat interaktif. Kebetulan seorang rakan saya menunjukkan artikel mengenai doktor badut di Amerika Syarikat. Saya berminat dan mula mencari pelbagai maklumat mengenai kerjaya berkenaan.
” Kemudian saya berhenti dari MAKNA dan berhijrah ke negara Laos untuk bertugas sebagai guru bahasa Inggeris kepada diplomat di sana, setahun setengah saya di negara itu namun idea untuk menjadi seorang doktor badut masih membara. Di sana saya mula menghantar emel kepada mereka yang pakar mengenai bidang ini di Amerika Syarikat, beratus kali jugalah dan menyatakan hasrat untuk mempelajari teknik sebagai badut di sana.
” Saya akhirnya berjaya dapat biasiswa namun belum cukup sehinggalah pada tahun 2003 apabila Ketua Pegawai Eksekutif MAS ketika itu, Datuk Mohammed Nor Yusuf berkunjung ke Laos. Bila saja dapat tahu beliau di sana, saya datang menemuinya dan menyerahkan proposal saya. Pertemuan itu ringkas saja, dalam lima minit, namun saya melompat kegembiraan kerana tiga minggu selepas itu, MAS bersetuju menaja tiket penerbangan saya ke New York dan di sanalah saya belajar mengenai teknik menjadi seorang badut. Ketika itu saya sedar, inilah benda yang saya nak buat sebenarnya dalam hidup,” kata Iskandar yang mengikuti latihan ‘Caring Clowning’ di Clown Camp, University of Wisconsin-La Crosse, Amerika Syarikat.
Iskandar kemudiannya mengasaskan Red Bubbles atau nama lainnya Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah dan mula melibatkan diri dalam dunia badut secara sepenuh masa dengan memfokuskan kepada usaha-usaha untuk menghiburkan kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik seperti kanser, buah pinggang serta penyakit SLE di hospital-hospital kerajaan secara percuma.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Gazette di kediamannya di Ampang, Selangor semalam.
Ketika diminta berkongsi pengalamannya menghiburkan kanak-kanak berpenyakit kronik di hospital kerajaan, Iskandar tiba-tiba sebak.
” Di hospital kerajaan ini ramai pesakit kronik yang terpaksa menerima rawatan dalam tempoh yang lama dan menanggung beban kewangan, bila kita mendengar cerita mereka, kita pun turut menangis. Kebanyakan mereka nak datang hospital pun tak ada duit. Kami melihat derita mereka. Jadi kami dahulukan khidmat kami pada mereka. Kami yang melihat pun dah rasa beban yang mereka lalui, apatah lagi mereka yang menanggungnya.
” Selain itu, saya pernah diminta oleh seorang ayah kepada salah seorang pesakit kanser ini yang mahukan saya membaca doa untuk kesembuhan anaknya. Bayangkan dalam keadaan berpakaian badut, saya berdoa untuk anaknya. Bagi saya itu satu pemintaan yang sangat-sangat murni dan jujur. Saya tak tahulah doa saya diterima atau tidak, saya pun amalan tak banyak, tetapi saya tunaikan juga permintaan tersebut.
” Pernah juga seorang pesakit kanak-kanak yang tidak lagi dapat melihat kesan dari kanser otak yang dialaminya, meminta kami mengalunkan selawat untuknya. Kami (badut) menunaikan permintaannya dan kami melakukannya dengan sepenuh hati. Dia gembira dan bertepuk tangan. Mengalir airmata kami kerana kami tak pernah pun diminta berbuat demikian oleh mana-mana pesakit sebelum ini,” kata Iskandar.
Ketika ditanya ‘petua’ untuk tidak menunjukkan kesedihan mereka di mata pesakit atau bila mereka terpaksa berhadapan dengan berita kematian pesakit yang pernah mereka hiburkan , Iskandar berkata, mereka pernah diajar oleh mentor mereka sendiri, French Clown Doctor, untuk menangani masalah tersebut.
Menurutnya, kesedihan adalah satu hakikat yang perlu mereka lalui apatah lagi bila berhadapan dengan perkara sebegini.
Namun, katanya, antara benda yang diajar kepada mereka adalah, para badut hanya perlu memfokuskan segala emosi dan usaha menghiburkan para pesakit ini pada ‘saat dan ketika itu sahaja’.
” Sebagai contoh, dulu kami memakai pakaian badut ini sewaktu masih di rumah tetapi sekarang tidak lagi. Hanya ketika berada betul-betul di hospital, baru kami menggantikan pakaian kami dengan pakaian seorang badut. Kami mesti mewujudkan ‘garis pemisah’. Habis kerja terus tukar baju dan pakai pakaian biasa semula, jadi seperti orang biasa balik dan bukan lagi badut.
” Kami juga tidak akan menghiburkan kanak-kanak ini secara berseorangan. Paling tidak pun dua orang. Ini kerana, kalau hanya seorang saja, beban emosi yang perlu ditanggungnya cukup berat,” kata Iskandar.
Mengenai pergerakan beliau dan rakan-rakannya di hospital, Iskandar berkata, mereka akan menghiburkan kanak-kanak kronik ini di luar waktu melawat, selalunya di sebelah pagi bermula daripada pukul 10 hingga 12.30 tengah hari.
Namun, katanya, kira-kira sejam sebelum itu mereka sudah berada di wad kerana hendak mendapatkan profil pesakit daripada doktor atau jururawat bertugas.
Ujarnya, antaranya mereka akan mendapatkan jenis penyakit dan latarbelakang pesakit yang bakal mereka hiburkan.
Tambah Iskandar, ini termasuk latarbelakang keluarga pesakit itu sendiri.
Ini kerana, katanya, bila mengetahui profil dan keadaan semasa pesakit, persembahan mereka akan jadi lebih mudah.
” Contoh seandainya pesakit itu kena kanser tulang dan terpaksa dipotong kakinya, kita dah tahu sejauh mana ‘sempadan’ persembahan yang kita akan buat. Dalam hal ini, kami tidak akan membuat jenaka yang boleh mengguris perasaan hatinya seperti jenaka yang berkaitan dengan kaki,” tegasnya.
Mengenai Red Bubbles atau Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah yang diasaskannya, Iskandar berkata, aktiviti-aktiviti yang dijalankan mereka bergantung sepenuhnya daripada sumbangan orang ramai.
Katanya, setakat ini mereka mempunyai tiga orang badut terlatih dan beberapa orang lagi sedang dilatih khas untuk kerjaya tersebut.
” Saya merayu pada rakyat Malaysia bantulah kami dengan memberi sumbangan apa yang difikirkan sesuai agar kami dapat meneruskan usaha murni ini. Tahun ini kami mengsasarkan untuk menghiburkan lebih 6,000 kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik di seluruh Malaysia,” katanya bersungguh-sungguh.
Sumbangan kewangan kepada Red Bubbles boleh dibuat melalui akaun MAYBANK 5640 7000 2826 (Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah KL dan Selangor). Sebarang maklumat boleh diperolehi dengan melayari laman web www.redbubbles.org.my– Malaysia Gazette.