KUALA LUMPUR – MIC bertegas tidak akan sesekali melepaskan kerusi Parlimen Cameron Highlands yang bukan sahaja kerusi tradisinya, malah ia adalah deposit tetap buat parti itu selama ini.
Sejak bertanding pada tahun 2004, kerusi itu tetap dimenangi MIC walaupun majoritinya jatuh sejak dua pilihan raya lepas.
Bagaimanapun, ketika ini situasinya dianggap berbeza kerana lawan kali ini tidak boleh dianggap mudah, malah kuasa pusat kini berada dalam tangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) buat kali pertama.
Jika MIC boleh menang dengan ribuan majoriti, sudah tentu kali ini parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak teragak-agak untuk bertanding sekali lagi.
Sebaliknya, kemenangan sangat penting bukan sahaja kepada MIC tetapi juga keseluruhan barisan pembangkang termasuk Pas yang tidak meletakan calon namun merancang mengerahkan jentera bagi membantu BN.
Begitu luahan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang memberi gambaran kemenangan amat penting dan risiko kehilangan kerusi itu kepada PH dan DAP adalah sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima.
“MIC bukan penakut, MIC bukan lepaskan kerusi tradisi, MIC masih relevan lagi, UMNO bukan buli MIC, bermacam-macam lagi analisis serta dakwaan pelbagai pihak khasnya parti lawan.
“Hakikatnya kita kini berada pada satu persimpangan di mana kita kena biasakan diri daripada perkara-perkara yang menjadi kebiasaan serta tradisi, sebaliknya kita sama-sama berganding bahu menjatuhkan PH. Kita perlu jadi matang.
“Itu yang lebih penting, pihak lawan sedang ternanti-nanti bilakah kita akan berpecah dan menjadi tidak tentu arah. Kita telah lakukan kaji selidik secara mendalam terlebih dahulu sebelum membuat keputusan paling sukar, meminjam ‘seketika’ kerusi tradisi kami.
“Kami pinjamkan kepada calon ‘winnable’ yang pada hakikatnya boleh membawa kejayaan kepada BN sekaligus MIC, adakah kita rela membiarkan kerusi milik MIC dan BN ini jatuh ke tangan DAP hanya kerana ianya tradisi MIC? Ingat kuasa pada mereka bukan kita ketika ini.
“Adakah pada masa yang sama kita mahu ‘menghalalkan’ setiap tindak tanduk PH dan DAP yang sehingga kini telah gagal menunaikan semua janji manifesto selain daripada pelbagai jenis dakwaan serta skandal yang belum tentu ada kebenarannya semata-mata mahu menang PRU lepas?
“Jika benarkan mereka menang, maknanya tidak akan ada apa-apa perubahan bahkan setiap yang dijanjikan sebelum ini dan selepas ini akan dibiarkan sepi begitu sahaja. Adakah kita rela dengan keadaan itu?
“Itu adalah antara mengapa MIC membuat keputusan untuk memperkasakan dan menguatkan parti serta komponen terlebih dahulu untuk beberapa tahun ini sebelum PRU nanti. Sokongan serta kepercayaan masyarakat perlu diperkasakan terlebih dahulu, banyak perlu di perbetulkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tambah Vigneswaran lagi, ketika itu wujud suasana di mana Orang Asli berkemungkinan besar mampu menjadi ‘king maker’ malah sokongan masyarakat Melayu terhadap PH juga telah berkurangan.
“Antaranya melalui ratifikasi ICERD baru-baru ini, banyak lagi faktor yang membolehkan masyarakat Melayu tidak mungkin akan menyokong DAP lagi. Tetapi pada masa yang sama, belum tentu sokongan masyarakat India 100 peratus kepada MIC juga.
“Ada banyak juga isu tidak selesai, tidak cukup dengan itu komuniti ini juga akan berpecah dan mengundi DAP malah juga kepada calon bebas seperti Tan Sri Kayveas.
“Kita ambil maklum semua faktor itu. Kita mahu tumpu perhatian kepada kemenangan, kita perlu hadapi realiti. Sebelum ini, kita juga banyak dibantu oleh undi sebelum ini. Kini, selepas perkiraan dari sumber-sumber kita, rasanya keputusan ini bukan tanda kita lemah, sebaliknya kita bijak menyusun strategi.
“Saya beri contoh, jika kita takut sangat dan tunduk kepada UMNO, apakah kita membuat keputusan untuk tidak merayu keputusan terdahulu sebaliknya memilih untuk bertanding untuk diberikan mandat oleh rakyat?
“Ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab sahaja yang cuba timbulkan kekeliruan kononnya MIC lemah dan tunduk kepada UMNO. Kita juga beri kata putus, saya selaku Presiden berbincang terlebih dahulu baik buruknya tindakan serta keputusan yang kita akan ambil dengan ahli yang lain.
“Jangan cuba bawa cerita Port Dickson kononnya kita lepaskan, pada situasi dan keadaan semasa ketika itu, UMNO boleh menang sekaligus membawa kepada kekuataan yang lebih dalam komponen, ada pihak cuba menangguk di air keruh sahaja sebenarnya,” tegas beliau.
Tambah beliau, seandainya BN menang di PRK Cameron Highlands, ia merupakan satu permulaan yang cukup baik untuk menguatkan komponen selain daripada parti masing-masing.
“Kita akan ada semangat yang baharu, jangan lupa parti seperti Pas juga tampil membantu kita pada PRK kali ini. Mengapa kita mahu risikokan semua ini dengan berada di takuk yang lama?
“Sejak desas desus berhubung calon BN, parti lawan sudah seperti cacing kepanasan, macam-macam yang dilontarkan termasuk meminta MIC keluar sahaja dari komponen, ada juga mengatakan parti ini akan bakal terkubur.
“Tidak cukup dengan itu, semalam lagi ‘teruk dan hilang waras’ apabila bermain isu perkauman antara Orang Asli dan Melayu hanya kerana kita letak calon boleh menang. Hakikatnya, strategi kita ini tidak disenangi sehingga mereka kembali memainkan sentimen kebencian antara satu sama lain.
“Usah terperangkap, mari kita lawan berhabis-habisan bukan untuk parti kita sahaja sebaliknya untuk semua yang bersama-sama kita, jangan risau dan biarkan mereka bermain dengan pemikiran kita. Apapun, ini hanya kerusi ‘pinjam’ dari MIC demi kemenangan bersama” ujarnya. –MalaysiaGazette