KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) hari ini mengumumkan tiga aksi persahabatan pramusim di Vietnam bermula 12 hingga 15 Januari ini sebagai persiapan untuk menghadapi musim baharu Liga Malaysia.
Skuad Hang Tuah itu dijadualkan bertemu tiga kelab daripada divisyen 1 Liga Vietnam iaitu Becamex Binh Duong FC di Stadium Go Dau, Bình Dương pada Sabtu ini.
Sehari kemudian, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu akan bertemu Sai Gon FC di Stadium Thong Nhat dan Hồ Chí Minh City FC di Stadium Ba Ria, pada 15 Januari.
Selepas pulang dari Vietnam, mereka akan bertemu pasukan Sarawak pada 21 Januari dalam satu lagi perlawanan persahabatan.
Melaka United mula mempamerkan keserasian antara pemainnya selepas menempuh tiga aksi persahabatan pramusim sebelum ini.
Mereka mencatat kemenangan 3-2 ke atas Selangor United FC pada 29 Disember lalu sebelum menewaskan Negeri Sembilan 2-0 pada 5 Januari lalu dan membenam kelab Singapura, Warriors FC 5-1, semalam. – MalaysiaGazette