Calon Barisan Nasional, Ramli Mat Noor bagi PRK Parlimen P.078 Cameron Highlands di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Bekas pegawai polis, Ramli Mohd Noor adalah calon pertama Barisan Nasional (BN) dari masyarakat Orang Asli.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sepanjang pengetahuannya, sejak Perikatan ditubuhkan sehingga era BN, tidak pernah ada calon Orang Asli.

Ini membuktikan BN bukan sahaja mengiktiraf kaum India, Cina dan Melayu sahaja, malah, komuniti Orang Asli yang dapat memberi kemenangan pun akan dipilih sebagai calon.

MGF10012019_PENGUMUMAN CALON BN11
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional yang menjalankan tugas-tugas Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hassan bersalaman dengan calon BN, Ramli Mat Noor selepas mengumumkannya sebagai calon bagi PRK Parlimen P.078 Cameron Highlands di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 JANUARI 2019

“Kita menaruh keyakinan penuh pada pucuk pimpinan BN dalam memilih Ramli sebagai calon PRK Cameron Highlands.

“Tambahan pula, beliau mempunyai sokongan masyarakat Orang Asli, selain disenangi kaum lain di kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pengumuman Calon BN di sebuah hotel di sini, hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, UMNO akan mengerahkan jentera parti untuk membantu kempen bagi memastikan calonnya menang pada PRK 26 Januari ini.

“Kita sentiasa dalam keadaan bersiap sedia. Dan ini adalah PRK kelima selepas DUN Sri Kandis, DUN Seri Setia, DUN Balakong dan Parlimen Port Dickson,” katanya. – MalaysiaGazette