Calon Pakatan Harapan, Manogaran Marimuthu bersalaman dengan sebahagian penduduk sekitar ketika sesi 'walkabout' sempena kempen Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Lembah Bertam, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran mahu rakyat memahami ‘kemusnahan’ yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu dan memerlukan masa lebih ‘panjang’ bagi membetulkan keadaan.

Malah kata beliau, janji manifesto yang telah dibuat ketika Pilihan Raya Umum ke-14 bukan omong-omong kosong sebaliknya hanya akan dapat direalisasikan secara berperingkat dengan mengambil pelbagai faktor terlebih dahulu.

“Tolong bagi masa kepada kami, anda telah berikan masa yang cukup lama kepada kerajaan terdahulu iaitu selama lebih 61 tahun. Mengapa dengan kami tidak sampai tujuh bulan? Banyak kemusnahan yang telah dilakukan untuk sekian lama, kita perlu masa betulkan semua itu bukan?

“Beri kami masa dan kami akan buktikan. Janji kami bukan sekadar janji PRU sebaliknya akan dilaksanakan secara berperingkat. Kami perlukan masa tapi semuanya akan dilaksanakan, rakyat bukan di bohongi untuk dan demi kepentingan kami,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di Bertam Valley semalam.

Manogaran juga berikrar akan sepenuh hati menunaikan setiap janji beliau kepada warga Cameron Highlands seandainya diberikan mandat untuk menang Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands kali ini.

Katanya, masyarakat di Cameron Highlands walaupun telah memenangkan calon Barisan Nasional (BN) selama ini namun keperitan yang ditanggung mereka selama masih tidak terjawab.

Ikrar Manogaran, beliau akan bertungkus lumus memastikan setiap janji serta kehendak dan kemahuan oleh setiap penduduk di sini akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin apatah lagi kuasa kerajaan pusat kini di pegang oleh mereka.

“Saya boleh lakukan ini. Jangan kata janji manifesto tidak di buat maka saya tidak boleh buat. Saya akan pergunakan kuasa pusat dengan mengadakan pertemuan dengan pimpinan serta menteri bagi menyelesaikan isu yang menjadi igaun penduduk untuk sekian lama.

“Itu janji saya dan saya hanya akan dapat lakukan ianya jika diberikan mandat serta kemenangan kepada saya. Setiap undi anda sangat berharga, saya sangat berharap untuk diberikan peluang malah nanti Tahun Baharu Cina, kita dapat sambutnya dengan saya bergelar ‘Ahli Parlimen Cameron Highlands’,” katanya lagi.

Tambah Manogaran, beliau akan menjadi suara warga Cameron Highlands bukan sahaja peringkat Parlimen sebaliknya di mana-mana sahaja sehingga setiap permasalahan yang dihadapi oleh mereka dapat diselesaikan.

MGF12012019_WALKABOUT CALON PH12
Calon Pakatan Harapan, Manogaran Marimuthu bercakap kepada media selepas sesi ‘walkabout’ sempena kempen Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Lembah Bertam, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2019.

Terdahulu, pada sesi ‘kopitiam’ yang diadakan untuk penduduk Bertam Valley yang rata-ratanya masyarakat Cina itu, hampir kesemua pimpinan utama DAP memberi bayangan kemenangan sulung calon DAP di sini itu sebenarnya bayangan kepada mereka merampas Pahang dari BN dalam tempoh terdekat.

“Beri dan tengok, secara perlahan kita akan dapat Pahang secara keseluruhan sebenarnya, tunggu dan lihat sahaja kelak. Kita perlu menang kerusi P078 ini, anda semua perlu menangkan Manogaran terlebih dahulu” kata Gobind Singh Deo.

PRK ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran, 60, mewakili PH, bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor, 61, (BN) dan bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61, serta petani Wong Seng Yee, 40, masing-masing sebagai calon Bebas.

November lepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Walaupun mendapat peluang untuk membuat rayuan berhubung keputusan petisyen tersebut yang turut dibawakan oleh Manogaran itu namun MIC sebulat suara membuat keputusan untuk menyerahkan kepada rakyat membuat keputusan dengan memutuskan untuk mengadakan PRK ini sahaja. –MalaysiaGazette