David de Gea. foto Agensi

LONDON – Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan David de Gea layak dilabel sebagai penjaga gol terhebat Manchester United selepas beraksi cemerlang ketika membantu pasukannya menang 1-0 ke atas Tottenham, awal pagi tadi.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu melakukan 11 aksi menyelamat iaitu paling banyak yang pernah dilakukannya dalam perlawanan sengit tanpa bolos yang membuatkan pemain Spurs buntu kerana gagal menembusi gawang.

Solskjaer memuji De Gea sebagai ‘penjaga gol terbaik dunia’, namun pada masa sama turut mengakui kekebalan pertahanan United yang menampilkan semangat berpasukan tinggi.

“Kami memiliki penjaga gol terbaik di kelab ini dan saya berpendapat, dia layak mencabar status Edwin (van der Sar) dan Peter (Schmeichel) sebagai penjaga gol nombor satu dalam sejarah.

“Kemenangan ini cukup manis, semangat berpasukan memang hebat, keyakinan dan aura di bilik persalinan memang menakjubkan,” kata pengurus sementara dari dari Norway ini.

Aksi di Stadium Wembley itu menyaksikan pertembungan dua ‘calon’ pengendali pilihan untuk menggantikan tempat Jose Mourinho yang berakhir dengan Solksjaer muncul selaku pemenang ke atas Mauricio Pochettino.

Marcus Rashford meledak jaringan tunggal pada minit ke-44, dan Paul Pogba juga menampilkan aksi cemerlang, namun kehebatan De Gea dari Sepanyol lebih banyak diperkatakan.

Sementara itu, Solskjaer kini menyamai rekod pencapaian Matt Busby yang memenangi lima perlawanan pertama apabila mengambil alih tugas mengemudi United.

United ketinggalan lapan mata di belakang Arsenal ketilka Solskjaer mengambil alih tugas selaku pengurus sementara pada 19 Disember dan kini mereka berjaya menyamakan kutipan 41 mata dengan Gunners.

Selepas 22 perlawanan, Arsenal kekal di tangga kelima dan United masih berada di tangga keenam dengan kedudukkan dipisahkan melalui perbezaan jaringan.

Kedua-dua pasukan kini memburu kedudukan kelompok empat teratas untuk meraih slot ke Liga Juara-Juara. – MalaysiaGazette