Majlis penyampaian peruntukan dianjurkan Kementerian Kewangan yang turut dihadiri Teo Nie Ching (berdiri, dua dari kanan) Jumaat lalu. (Gambar Facebook)
Majlis penyampaian peruntukan dianjurkan Kementerian Kewangan yang turut dihadiri Teo Nie Ching (berdiri, dua dari kanan) Jumaat lalu. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diminta  menjelaskan kepada rakyat berhubung pemberian peruntukan kepada Kolej Universiti New Era dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) seperti yang tular di media sosial minggu lalu.

Ketua Penerangan Pas Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, penjelasan itu perlu kerana berdasarkan peruntukan Belanjawan 2019, SMPC diberikan peruntukan sebanyak RM12 juta.

“Kalau SMPC mendapat RM12 juta, bagaimana pula dengan Kolej Universiti New Era?” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan penjelasan dari Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching peruntukan tersebut adalah peruntukan khas dari Menteri Kewangan, bukan dari Kementerian Pendidikan.

Soalnya, kata beliau, mengapa ia diberikan dan dari mana peruntukan tersebut.

“Pas membidas sikap Menteri Kewangan yang mendiamkan diri selepas gambar penyampaian peruntukan kepada Kolej Universiti New Era dan SMPC tular di media sosial minggu lalu.

“Pas menggesa Guan Eng tampil memberikan penjelasan untuk menjustifikasikan pemberian peruntukan tersebut,” tegasnya.

Katanya, Kolej Universiti New Era ditubuhkan oleh Dong Jiao Zong sejak 1994 dan pertubuhan itu juga agresif mendesak kerajaan supaya mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) meskipun ia telah ditolak oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast