Calon Pakatan Harapan, Manogaran Marimuthu (tengah) beramah mesra dengan sebahagian penduduk yang hadir pada Program Perayaan Ponggal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.078 Cameron Highland di Kuil Sri Subramaniyar, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 15 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran menyeru kepada masyarakat di negara ini mengambil semangat sambutan pesta Ponggal supaya pembaharuan dapat dilaksanakan melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands kelak.

Manogaran ketika ditemui MalaysiaGazette pada sambutan Ponggal di Kuil Sri Subramaniyar Tanah Rata berkata, tidak salah untuk dirinya meminta warga Cameron Highlands mengundinya atas semangat tahun baru ini.

Jelasnya, ponggal disambut dengan niat kebaikan melimpah ruah sama seperti melimpahnya susu dari belanga simbolik perayaan ini yang rata-ratanya disambut oleh golongan petani bersempena dengan bulan menuai hasil tanaman di India.

“Di negara ini juga kita sambut Ponggal dengan begitu meriah apatah lagi di kawasan seperti Cameron Highlands yang rata-ratanya juga golongan petani. Ponggal bermaksud dalah perkataan Tamil yang bermaksud ‘mendidih’.

“Dianggap sebagai satu daripada perayaan penting dan popular oleh penganut Hindu, Ponggal disambut dengan memasak beras manis sebagai tanda berterima kasih atas hasil tuaian terutamanya di kawasan rata-ratanya golongan petani.

“Objektif utama sambutan ini adalah untuk berterima kasih dengan rezeki dan berdoa untuk ianya melimpah ruah, dalam pada itu ia juga mempunyai maksud ‘kebersihan’ bukan sahaja sekeliling serta persekitaran sebaliknya hati kita juga perlu bersih.

“Kita juga mengambil semangat agar kebaikan serta pembaharuan dalam kehidupan seharian, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada penduduk Cameron Highlands agar dapat mengundi saya untuk pembaharuan itu, saya rasa tidak salah dengan permintaan saya.

“Hakikatnya, saya yakin dan saya sedia maklum mampu bukan sahaja membawa pembaharuan sebaliknya akan menjadi suara kepada warga Cameron Highlands sehingga ke Parlimen dan Putrajaya untuk didengari, apa yang tidak mampu dilakukan dalam tempoh puluhan tahun ini akan saya bawakan. Percayalah dan beri peluang itu.

“Ayuh, kita berganding tangan bersama-sama dan membawa pembaruan itu apatah lagi hari ini adalah hari penting dan bermakna kepada kita, Cameron Highlands perlukan perubahan nyata ini, cukuplah untuk puluhan tahun dengan takuk yang lama. Buang yang lama dan ambil semangat baharu.

“Dengan masyarakat India Malaysia menyambut bulan Thai yang menandakan suatu permulaan baru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ‘Ponggal Vaalthukal’ dan semoga ia membawa limpahan kemakmuran kepada kita khasnya warga Cameron Highlands,” katanya.

Lebih 200 warga Cameron Highlands tidak kira latarbelakang berkumpul di Kuil Sri Subraminayar Tanah Rata berkumpul seawal 7 pagi bagi memasak nasi manis (ponggal) menggunakan belanga susu.

Jelas Manogaran, beliau sebenarnya amat teruja kerana walaupun berlainan idealogi dan fahaman namun apabila sesuatu sambutan diadakan, hampir semua berbilang bangsa akan menyertainya selain daripada memahami budaya tersebut.

“Apa yang anda lihat pagi ini bukan politik sebaliknya kebudayaan yang di kongsi bersama-sama, itu sahaja. Kami mengalu-alukan semua pihak untuk sama-sama menyambutnya.

“Sudah tentu di Cameron Highlands, Ponggal ini lebih meriah kerana penduduknya juga dalam kalangan para petani dan ianya sangat meriah di sini. Seluruh keluarga saya juga berada di sini seperti kebiasaan menyambutnya dengan penuh rasa syukur,” ujarnya.

Ponggal adalah perayaan empat hari di mana biasanya di raikan antara 14 Januari sehingga 18 dalam calendar Gregorian, kadang-kadang tarikhnya akan berubah tetapi hari terakhir dalam bulan Margazhi mengikut takwim Tamil sehingga hari ketiga dalam bulan Thai.

Sebenarnya Ponggal lebih memainkan peranan dalam menghargai usaha golongan petani, haiwan seperti lembu serta kerbau selain alam semulajadi yang menjadi asas kepada keperluan utama manusia, iaitu makanan.

Masyarakat India akan memasak nasi manis berasakan susu, gula perang, kacang dan minyak sapi yang kemudian akan dipersembahkan kepada Dewa Matahari (Surya Bhagawan).

Ketika susu sedang melimpah, ungkapan ‘Ponggal O Ponggal, Ponggal O Ponggal, Ponggal O Ponggal’ disebut sebanyak tiga kali oleh penganut yang mengelilingi periuk tanah liat berhias yang digunakan untuk memasak susu itu. –MalaysiaGazette