Orang ramai melihat Istiadat Pemasyuran Sultan Pahang Keenam pada skrin besar di Istana Abu Bakar, Pekan Pahang. foto FAREEZ FADZIL, 15 JANUARI 2019

PEKAN – Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam hari ini bagi menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar.

Pemasyhuran dengan penuh adat istiadat diraja yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar itu diumumkan oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Bacaan pemasyhuran itu adalah mengikut Pengisytiharan Pelantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Pertama).

Pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu melayakkan baginda disenaraikan dalam pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong baharu, berikutan peletakan jawatan oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong XV pada 6 Januari lalu yang akan diadakan pada 24 Januari ini di Istana Negara.

Mengikut konvensyen penggiliran senarai sembilan negeri beraja, turutan negeri dalam pusingan pertama sistem penggiliran yang diikuti sejak 1957 ialah Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Pada istiadat pemasyhuran itu, selesai ​​​​​​membaca Pengisytiharan Pelantikan Raja, Tengku Abdul Rahman mempersembahkan watikah Pemasyhuran Pelantikan Raja kepada Sultan Abdullah.

Orang Kaya Indera Pahlawan kemudiannya dititah menghadap sebelum menyembahkan Titah Ikrar kepada Sultan Abdullah, 59, yang sejurus kemudian menyempurnakan ikrar berkenaan.

Sultan Abdullah, yang berbaju Melayu tenun Pahang berwarna kuning diraja, kemudiannya melafazkan sumpah sebagai Sultan dan Raja Pemerintah bagi negeri Pahang dan dan segala jajahan takluknya.

Sultan Abdullah berikrar dan mengaku akan bersungguh-sungguh memelihara dan mempertahankan pada setiap masa kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negeri Pahang. – MalaysiaGazette