Gambar yang dimuatnaik dalam hantaran terbaharu di laman Facebook Datuk Seri Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR – Sekeping gambar yang dimuat naik dalam hantaran terbaharu di laman Facebook Datuk Seri Najib Tun Razak menarik perhatian banyak pihak.

Ini kerana gambar pertemuan bekas perdana menteri itu bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tentunya mengundang tafsiran tersendiri.

Apatah lagi selepas Ahmad Zahid mengumumkan tugas-tugas Presiden UMNO dijalankan oleh Mohamad Hasan yang merupakan timbalannya, manakala Hishammuddin pula dihujani cakap-cakap bahawa beliau antara nama yang akan meninggalkan parti.

Hishammuddin juga tidak henti-henti dikaitkan dengan tindakan beberapa wakil rakyat UMNO keluar parti selepas gambarnya bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi viral di media sosial.

Sejak Barisan Nasional tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu, keempat-empat pemimpin UMNO itu sememangnya agak jarang kelihatan bersama.

Tentunya pertemuan yang berlangsung di kediaman Najib itu mempunyai matlamat tersendiri sekali gus menunjukkan bahawa mereka masih bersatu hati dalam memastikan agenda perjuangan selama ini tidak terpinggir begitu saja.

“Kami sepakat demi masa depan parti, ummah dan negara,” kapsyen Najib mengiringi gambar yang mendapat 927 komen, 361 perkongsian dan 7,500 like. – MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast