Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengingatkan semua parti politik agar tidak memasang apa jua bentuk bahan kempen di mana-mana premis dan pepasangan elektrik milik syarikat utiliti negara itu sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang sedang berjalan ketika ini.

TNB dalam satu kenyataan berkata, larangan itu termasuklah menampal atau menggantung bahan-bahan kempen seperti poster, bendera dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

“Perbuatan tersebut amat berbahaya dan berisiko mengakibatkan renjatan elektrik dan percikan arka (flashover) yang bukan sahaja boleh merosakkan harta benda bahkan mengancam nyawa.

“Pemasangan bahan-bahan kempen tersebut juga boleh menghalang warga kerja TNB untuk mendapat akses untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan,” kata kenyataan itu.

TNB turut menasihati orang ramai juga supaya tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran elektrik yang boleh menyebabkan renjatan elektrik pada mereka yang berada berhampiran.

Jelas syarikat utiliti nasional itu, di bawah peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), pelaku boleh didakwa dan jika didapati bersalah, akan didenda.

“Sebagai langkah pencegahan, TNB, menerusi rondaan rutin akan menurunkan bahan kempen pilihan raya yang berisiko menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna.

“TNB memohon jasa baik orang ramai yang ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik, untuk segera menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mencegah perkara yang tidak diingini daripada berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette