CAMERON HIGHLANDS – Calon Pakatan Rakyat (PH), M. Manogaran melahirkan rasa kesal dengan cara segelintir pihak berkempen dengan cara ‘kotor’ serta tidak beretika pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.
Terbaru, Manogaran mendakwa pihaknya seolah-olah disabotaj oleh ‘pihak tertentu’ daripada menggunakan Dewan Serbaguna Tringkap, Cameron Highlands bagi majlis makan malam anjuran esok.
Jelas Manogaran, pihaknya telah diberitahu pada saat-saat akhir bahawa mereka tidak boleh menggunakan dewan serbaguna bagi sebarang aktiviti politik walhal sebelum ini DAP pernah menggunakan tempat tersebut bagi tujuan sama.
“Dengan era Malaysia Baharu, kita masih menerima layanan sebegini, dulu begitu juga pelbagai unsur sabotaj akan dilakukan demi merencatkan perancangan. Hakikatnya saya kecewa dan terkilan.
“Sebenarnya dewan ini kegunaan awam untuk pelbagai perkara malah dewan ini juga telah dibina menggunakan dana awam, pendermanya adalah orang ramai. Saya dimaklumkan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tidak benarkan guna tempat ini kerana ada tekanan dari pihak ‘atasan’.
“Majlis amal esok setakat ini, kita telah jual hampir 55 meja dengan kehadiran lebih 550 penduduk kawasan Tringkap, Kampung Raja, Kuala Terla dan Tanah Rata. Mereka ini adalah penyokong kita juga selama ini. Malah untuk makluman, kita mempunyai kedudukan penyokong yang tinggi di kawasan-kawasan ini.
“Kini kita terpaksa berpindah ke kawasan terdekat di Kampung Raja kerana jika pindah lebih jauh dari sini mungkin akan menyusahkan penyokong kita dan ada kemungkinan tidak dapat hadir, mengapa perlu susahkan kami seperti ini? Berpolitiklah secara matang sedikit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media PH yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh di Dewan Serbaguna Tringkap hari ini.
Jelas Manogaran, beliau masih berharap pihak berwajib termasuk kerajaan negeri dan JKKK untuk bertolak ansur sedikit dalam perkara tersebut dan membenarkan DAP mengadakan majlis amal mereka esok.
Dijangka antara yang hadir untuk majlis makan malam amal itu termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha AGung DAP, Lim Guan Eng, Yoke Kong dan juga Manogaran dengan harga sebuah tiket bernilai RM60.
Wang yang telah dikutip untuk majlis tersebut setakat ini sebanyak RM33,000 itu akan digunakan sebagai dana bagi menampung kempen mereka di Cameron Highlands sehingga tamat PRK ini.
Dalam pada itu, Yoke Kong turut menempelak tindakan menghentikan majlis amal mereka pada saat-saat akhir malah memberikan alasan tidak berapa menyakinkan.
“Kami telah membuat tempahan awal sebelum ini kemudian ini pula. Saya diberitahu seorang bekas setiausaha JKKK yang memaklumkan kepada kami dewan ini sudah tidak boleh di sewakan kepada kami.
“Alasan politik itu tidak masuk akal, saya juga diberitahu oleh ahli JKKK lain yang enggan dikenali mereka menghadapi tekanan yang begitu besar sehingga menyebabkan tempahan ini dibatalkan begitu sahaja.
“Dewan ini bukan hak milik persendirian sebaliknya di bina atas dana awam yang boleh digunakan untuk kegunaan prang ramai, ahli-ahli serta penyokong kami juga banyak menderma untuk dewan ini.
“Sebenarnya jawatnkuasa baharu JKKK belum lagi ditubuhkan lagi, jadi siapa bekas setiausaha yang membuat keputusan bagi pihak JKKK atau bagi siapa kita tidak tahu. Ada banyak isu berbangkit tentang penduduk kita yang belum lagi diselesaikan oleh mereka-mereka ini.
“Malah saya sendiri didatangi oleh penduduk kampung meminta bantuan berkaitan sekolah khasnya kerana pihak berwajib enggan tandatangan, semua itu belum selesai anda mahu buat semua ini.
“Kini adalah musim PRK, majlis amal seperti ini adalah biasa dan sememangnya bermanfaat untuk penduduk jadi mengapa mahu cuba memberhentikannya? Cameron Highlands ini kecil sahaja, mana kami mahu pergi? Mengapa susahkan penduduk.
“Jangan main politik seperti ini kerana akhirnya menyusahkan semua terutamanya rakyat kita sendiri,” tegasnya. –MalaysiaGazette