CAMERON HIGHLANDS – “Hanya Barisan Nasional (BN) sahaja dalam hati kami juga undi kami. Terlalu banyak jasa yang telah ditaburkan dan kami hanya mahu membalasnya sahaja,”
Begitu luahan Tok Batin Asli Kampung Panggen, Kamarudin Al Baskuban, 35, apabila diminta mengulas tentang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari nanti.
Walaupun Kamarudin walaupun tidak begitu fasih bercakap namun ingatannya cukup jelas apabila menyebut nama-nama pemimpin tertentu termasuk Datuk Seri G Palanivel dan Datuk C. Sivarrajh serta Menteri Besar Pahang.
“Kami hanya mahu BN sahaja, kami tahu mereka banyak membantu kami pulihkan banyak perkara untuk kami termasuk rumah dan pendidikan sekolah anak-anak kami. Bantuan asas juga tidak pernah dilupakan selama ini.
“Kami sentiasa terhutang budi dan sentiasa akan sokong mereka. Kita juga sangat menghargai kerajaan dulu kerana satu sahaja, negara sangat aman dan harmoni, kami tidak hadapi banyak masalah juga.
“Kami mahu BN menang, jika bantu kami bersyukur tetapi jika tidak tolong juga kami tidak kisah. Kami hanya mahu sokong BN, itu sahaja.
“Parti satu lagi (Pakatan Harapan) tidak pernah bagi apa-apa dan datang tengok kami. Tidak apa, kami hanya sokong BN sahaja,” katanya ketika di temui Malaysia Gazette petang semalam.
Berdasarkan rekod daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bilangan pengundi Melayu di Parlimen itu adalah 10,820 orang atau mewakili 34 peratus, Cina 9,524 (30 peratus) dan India 4,798 (15 peratus).
Pengundi Orang Asli pula seramai 6,964 orang, mewakili 23 peratus pengundi di sana.
Jelas Kamarudin, ‘peraturan’ yang melarang sebarang bentuk barangan bantuan seperti makanan dan juga wang ringgit diberikan ketika musim kempen pilihan raya terutamanya kepada pengundi Orang Asli tidak begitu menjejaskan komunitinya.
“Itu adalah bantuan ikhlas, jika tidak beri tidak apa juga. Kita cuma mahu isu besar seperti air bersih dan rumah serta pengangkutan disediakan untuk kami pada masa hadapan, kehidupan sini begitu sukar kerana perkara-perkara penting seperti ini.
Itu sahaja yang kami pinta, bagi perhatian seperti bershih untuk di minum juga kenderaan untuk hantar ambil anak-anak dari sekolah juga penting untuk kami” ujarnya. –MalaysiaGazette