CAMERON HIGHLANDS – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa tidak mengikut Perlembagaan apabila beroperasi dan membuat keputusan mengenai pilihan raya tanpa melibatkan tujuh ahli panelnya.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, SPR menurut Perlembagaan tidak boleh wujud jika hanya mempunyai seorang pengerusi sahaja.
“Di bawah Perkara 114 (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah terdiri daripada pengerusi, timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.
“Perkataan ‘hendaklah’ di dalam Perlembagaan Persekutuan menunjukkan bahawa ia adalah keperluan mandatori.
“Justeru itu, segala tindakan yang dibuat di bawah nama SPR pada ketika ini adalah tidak berperlembagaan dan dikira terbatal,” katanya pada sidang media di Restoran Bunda di Tanah Rata hari ini.
Annuar selaku Ahli Parlimen Ketereh juga mendakwa, perletakan jawatan timbalan pengerusi dan lima orang ahli lain pada 31 Disember 2018 masih tiada lantikan baharu dan sepatutnya SPR tidak boleh beroperasi dan wujud di sisi Perlembagaan.
“Perkara 114 (1) Perlembagaan Persekutuan mewajibkan perlantikan ahli-ahli suruhanjaya ini mesti dibuat oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja dan ini belum di lakukan.
“Mana mungkin suruhanjaya ini berfungsi dengan hanya seorang ahli sedangkan Perlembagaan dengan jelas dan secara wajib,mesti terdiri dari tujuh orang.
“SPR mempunyai 10 hari iaitu sehingga hari ini untuk mengeluarkan Writ Pilihan Raya selepas kekosongan kerusi DUN Semenyih akan tetapi dengan ketidakwujudan SPR, maka writ pilihan raya tidak harus dan tidak dapat dikeluarkan,” katanya.
Katanya lagi, tindakan SPR yang meneruskan operasinya membuktikan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengetepikan peraturan undang-undang negara
“Urusan pilihan raya yang merupakan tiang seri yang paling asas dalam sistem demokrasi tidak harus dipersenda dan digadaikan.
“Ini satu lagi bukti Kerajaan PH bukan sahaja tidak serius melakukan reformasi malah secara sewenang-wenangnya mentadbir secara otokratik dan membelakangkan prinsip peraturan undang-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette