Calon Pakatan Harapan, Manogaran Marimuthu (tengah) bersama Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh (dua kiri) meninjau kawasan parking sekitar kawasan tanah rata sempena kempen Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail didakwa gagal memahami kehendak dan keperluan penduduk Cameron Highlands berhubung isu kadar bayaran tempat letak kenderaan.

Calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran berkata, buktinya boleh dilihat apabila pemimpin Barisan Nasional (BN) itu mempertahankan tindakan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) yang mengenakan bayaran parkir di Tanah Rata, Brinchang dan Kea Farm.

Menurut beliau, kenyataan Wan Rosdy bahawa kutipan bayaran parkir itu tidak menjejaskan penduduk menunjukkan BN tidak mendengar suara hati rakyat.

“Di sini ada lapan kawasan utama iaitu di Kampung Raja, Kuala Terla, Tringkap, Brinchang, Tanah Rata, Habu, Ringlet dan Lembah Bertam. Tanah Rata dan Brinchang merupakan kawasan terbesar didiami penduduk.

“Kedua-dua kawasan ini masing-masing merupakan pusat pentadbiran dan pusat perniagaan utama.

“Penduduk di seluruh daerah ini akan pergi ke dua tempat ini untuk menjalankan aktiviti harian sama ada urusan rasmi mahupun membeli-belah,” katanya pada sidang media di hari ini.

Sebelum ini, Wan Rosdy berkata, hanya kawasan tumpuan pelancong sahaja dikenakan bayaran.

Manakala penempatan penduduk seperti di Lembah Bertam, Ringlet, Habu, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja tidak dikenakan sebarang bayaran. – MalaysiaGazette