Naraza Muda
Naraza Muda

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menjelaskan secara tepat kepada rakyat terutama peneroka Felda berhubung kedudukan aset dan kewangan agensi itu yang sebelum ini dikatakan bermasalah.

Bagaimanapun, dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands ketika ini pemimpin komponen PH menyatakan duit Felda mencukupi untuk mengurus bayaran kepada peneroka.

Timbalan Pengarah Hal Ehwal Felda Lajnah Tanah Pas Pusat, Naraza Muda berkata, kenyataan berdolak-dalik kerajaan PH itu akan menganiayai peneroka Felda.

Kata beliau, tiada satu pun keserabutan sebelum ini mampu diselesaikan secara holistik, bahkan aset Felda pula diancam dilupuskan bagi mengekalkan aliran tunai yang bermasalah.

“Bayaran pinjaman sara hidup bagi peneroka yang dalam proses tanam semula, bayaran pendahuluan hasil antara masalah yang memberi kesan langsung apabila ianya tertunggak beberapa bulan.

“Pemimpin negara yang ada kaitan dengan Felda dan peneroka tidak berani pijak tanah rancangan Felda. Lebih mendebarkan mereka terdengar desas desus ratusan hektar tanah mereka bakal dipajakkan kepada pihak lain (bukan ladang sawit),” katanya yang dipetik dari Harakahdaily hari ini.

Jelas Naraza, janji kertas putih pemulihan Felda dibentangkan di Parlimen sesi lalu terpaksa dibatalkan atas nasihat pihak tertentu kerana sebab tidak ketahui.

Malangnya, apabila berkempen pada PRK Cameron Highlands, banyak pula kenyataan pelik.

“Mereka kata duit Felda sangat mencukupi untuk mengurus bayaran kepada peneroka, duit sudah ada cuma belum diagihkan dan bermacam lagi.

“Walau apapun yang mereka janjikan, warga Felda Sungai Koyan perlu beri isyarat lantang dan keras kepada kerajaan PH dengan tidak memberi undi kepada mereka.

“Pastikan semua peti undi kawasan Felda memberi angka ‘0’. Warga Felda mampu berbuat demikian. Isyarat ini akan membawa kebaikan kepada seluruh 317 tanah rancangan Felda seluruh negara. Kita mulakan di sini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast