Khairul Azam Abd Aziz
Peguamcara dan Aktivis Masyarakat, Khairul Azam Abd Aziz.

KUALA LUMPUR – Seorang peguam menyangkal dakwaan Mohamed Hanipa Maidin bahawa tari menari adalah tradisi guaman.

Menurut Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, biarpun beliau seorang peguam tetapi tidak pernah pula dengar tari menari itu menjadi tradisi profesion tersebut.

“Saya melihat hujah Timbalan Menteri Undang-Undang itu semata-mata mahu memperbodohkan pengundi mereka sahaja.

“Tradisi guaman barat mungkinlah sebab kebetulan budaya bangsa dan negara mereka berparti dan berpesta sambil mabuk dan bawah pengaruh dadah.

“Jadi mereka serap budaya bangsa mereka ke dalam bidang guaman agar tak stress sangat, ada hiburan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Khairul Azam mengulas kenyataan Hanipa yang mempertahankan majlis jamuan dan tari menari yang sifatkan sebahagian daripada tradisi guaman.

Katanya, para peguam amat kaya dengan pelbagai tradisi yang mungkin kelihatan agak unik dan hanya ada dalam profesion itu sahaja, walaupun kelihatan ‘sedikit kebaratan’.

Dakwa Khairul Azam, meskipun ia budaya barat tetapi tidak pernah pula Ketua Hakim mereka menari sepentas dengan Peguam Negara, Menteri Undang-Undang dan peguam-peguam kanan.

Katanya, tidak ada masalah seandainya hakim menari dengan hakim, Peguam Negara menari dengan Timbalan Pendakwa Raya dan peguam menari dengan peguam sahaja memandangkan mereka semua ada batas dan etika pergaulan yang perlu dijaga.

Tegas Khairul Azam lagi, individu-individu yang terlibat dalam isu ini sama sekali tidak boleh berkata mereka profesional dan tidak akan terpengaruh dengan Peguam Negara walaupun menari bersama.

Ini kerana, undang-undang etika tidak peduli apa yang dirasai oleh tuan punya badan yang memikul tetapi undang-undang tersebut peduli apa yang dipandang oleh mata awam.

“Jika orang awam berpendapat ianya tidak beretika maka tidak beretikalah kamu,” tambah Khairul Azam.

Malah, beliau mempersoalkan selepas ini sekiranya ada kes yang dihakimi oleh Tan Sri Richard Malanjum dan beliau membuat keputusan memihak kepada Peguam Negara, adakah mereka yang kalah dalam kes itu akan percaya dengan kebebasan sistem kehakiman lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast