NEW DEHLI – Semakin hampir hari pengundian P078 Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, ramai juga yang meramalkan komponen Barisan Nasional (BN) dapat mengekalkan kemenangan mereka seperti sebelum ini.
Malah walaupun BN telah kehilangan kerajaan Pusat selepas lebih 60 tahun memerintah namun hakikatnya sokongan serta jasa yang telah ditaburkan masih dianggap relevan di tempat deposit tetap BN.
Umum juga tidak dapat menolak antara yang telah berjasa dan menyumbangkan pembangunan di situ ialah MIC, parti terbesar masyarakat India di negara selama puluhan tahun malah setiap calon dalam kalangan mereka bertanding, pastinya menang sehingga saat ini.
Cuma kali ini, MIC berjiwa besar dan bertindak menukar strategi dengan meminjamkan kerusi tradisi mereka kepada calon Orang Asli bagi mendapatkan kemenangan majoriti lebih besar.
Namun pada masa yang sama, rata-rata pemimpin MIC yang terdiri dalam kalangan kepimpinan tertinggi, Ketua Bahagian dan Cawangan selain ahli biasa melahirkan rasa gusar, terkilan serta ‘takut’ akan kehilangan kerusi itu kelak.
Apatah lagi sudah wujud ramalan berkemungkinan kerusi itu akan dimenangi dengan lebih majoriti malah penduduk Cameron Highlands yang dalam kalangan masyarakat India juga tidak gembira dengan calon Orang Asli dan bukannya kaum India.
Bercakap kepada MalaysiaGazette ketika dalam perjalanan ke Persidangan Pravasi Bharatiya Divas 2019 di India, masing-masing yang enggan disebut nama itu melahirkan perasaan tidak begitu gembira.
“Bukan kami tidak gembira, jika BN menang baguslah. Itu tandanya kita masih lagi relevan. Kami juga tahu kemenangan ini sangat penting buat semua komponen lagi-lagi untuk pembangkang.
“Ramalan juga mengatakan kita akan menang mungkin dengan lebihan majoriti, sudah tentu semua itu menggembirakan kita, kita semua masih lagi setia dengan BN dan UMNO. Tidak ada sebarang perubahan berhubung kesetiaan kami. Malah kami juga menjalinkan hubungan baik dengan Pas.
“Tetapi apa yang kami gusarkan hanya satu, apakah yang akan terjadi dengan kerusi Cameron Highlands yang milik MIC selama ini, kita kata pinjam kita juga harap masing-masing akan ingat pada pengorbanan kita ini. Janganlah mungkir janji kelak.
“Presiden kita berjiwa besar dan bukan telah melepaskan kerusi itu dengan begitu sahaja, beliau sebenarnya mahu kemenangan untuk semua dalam BN kecapi itu sahaja, jangan salah guna ianya kelak. Kita mahu kerusi itu dikembalikan dengan cara baik kelak.
“Ramai yang mendekati kita dan bertanya mengapa kita perlu pinjamkan walhal kita boleh sahaja dan membiarkan semua lain dalam komponen termasuk pembangkang seperti Pas menyokong kita.
“Walaupun berjela-jela penjelasan telah diberikan kepada kita dan ianya masuk akal tetapi kami cuma risau apatah lagi sebelum ini beberapa janji itu pernah di mungkiri beberapa kali ketika kita berikan kerusi milik kita kepada UMNO. Kerusi Behrang dan Pasir Panjang.
“Ketika itu, perjanjian pertukaran kerusi disusuli dengan dua keahlian Ahli Dewan Negara yang sehingga ini tidak diberikan juga.
“Kita cuma mahu mereka semua tahu, kita akan berikan sokongan tidak berbelah bahagi dan perjuangan kita semua berada di landasan sama tetapi jangan lupa, untuk kemenangan PRK kali ini sahaja, pada hari kemudian ianya milik MIC, usah lupa dan kami percaya pada semangat setiakawan itu,” kata mereka.
Sebenarnya Cameron Highlands antara kubu kuat BN dengan kerusi dianggap milik tradisi MIC itu dipertahan BN sejak beberapa penggal lalu.
Pada PRU 2004, BN diwakili Datuk Seri SK Devamany, menang dengan majoriti selesa 6,260 undi, sebelum turun mendadak pada PRU 2008 kepada 3,117 undi.
Majoriti terus menjunam kepada 462 undi pada PRU 2013 ketika itu ditandingi oleh bekas Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel, namun naik sedikit kepada 597 undi pada PRU lalu yang ditandingi oleh Datuk Sivarrajh Chandran.
Keputusan dicapai BN sejak dua PRU terakhir, memberi peringatan kepada parti itu, lebih-lebih lagi dalam meraih sokongan pengundi bukan Melayu, terutama masyarakat Cina.
Hakikatnya, undi Orang Asli dianggap ‘king maker’ kali ini dengan rekod PRU-13, kemenangan BN di Parlimen Cameron Highlands banyak disumbang menerusi undi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, yang menempatkan ramai pengundi Melayu dan Orang Asli.
Sementara DUN Tanah Rata pula majoritinya pengundi Cina dan India dikuasai PH apabila 10 daripada 17 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN itu disapu bersih.
BN hanya menang tujuh PDM di DUN Tanah Rata, kebanyakannya kawasan campuran menempatkan ramai pengundi India dan Melayu.
Berdasarkan rekod daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bilangan pengundi Melayu di Parlimen itu adalah 10,820 orang atau mewakili 34 peratus, Cina 9,524 (30 peratus) dan India 4,798 (15 peratus).
Pengundi Orang Asli pula seramai 6,964 orang, mewakili 23 peratus pengundi Cameron Highlands.
Sementara itu. seramai 200 delegasi kaum India Malaysia dari MIC akan menghadiri Pravasi Bharatiya Divas kali ke-15 di Varanasi, Uttar Pradesh, satu persidangan tahunan yang menghimpunkan masyarakat berketurunan India dari seluruh dunia bermula 21 sehingga 23 Januari ini. –MalaysiaGazette