Menteri Pembangunan Keusahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berucap pada Majlis Makan Malam dan Dialog Industri SDG di Eastin Hotel Kuala Lumpur, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Usahawan perlu dididik bagi mengambil kira kesan pembangunan usahawan terhadap alam sekitar di negara ini.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof, perkara itu penting kerana pihaknya telah mengeluarkan garis panduan terhadap semua usahawan di negara ini mengenai faktor perubahan iklim secara lebih holistik.

“Kementerian Pembangunan Usahawan sudah keluarkan garis panduan dan beri latihan kepada usahawan tentang perubahan cuaca dan kita harus bertanggungjawab dengan perubahan dunia. Bagi memastikan tidak berlakunya banjir, bencana alam sekitar.

“Saya rasa kesedaran ada, dan banyak usahawan sektor pertanian khususnya telah bertukar kepada bidang organik dan ada yang telah berubah kepada pertanian argikultur,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis Dialog Industri SDG di Petaling Jaya malam ini.

Ujar Mohd Redzuan, pihak swasta juga perlu memainkan peranan dengan pihak kerajaan bagi mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang direncana oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Amat bagus untuk melihat para usahanya yang semakin sedar secara sosial terhadap kepentingan alam sekitar.

“Merekalah pemain industri yang mampu untuk mecapai keseimbangan sebagaimana mereka meriah keuntungan dalam bidang berkenaan,” katanya lagi.

Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyenaraikan tiga SDG dalam Rangka Kerja Sendai berikutan kebanyakan bencana di negara ini turut dipengaruhi iklim.

Antaranya, membabitkan Kemiskinan, Bandar dan Komuniti Lestari serta Tindakan Iklim yang difikirkan wajar untuk dititikberatkan bagi mengurangkan risiko bencana kepada negara.

Rangka Kerja Sendai merujuk pada pelan 15 tahun pengurangan risiko bencana dari 2015 hingga 2030 hasil inisiatif Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pengurangan Risiko Bencana (UNISDR) dan negara peserta. -MalaysiaGazette