Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard
Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard

KUALA LUMPUR – Melantik ahli politik duduk dalam syarikat atau agensi berkaitan kerajaan adalah perkara biasa yang diamalkan oleh kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, melantik isteri dan anak sebagai pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah syarikat adalah suatu yang luar biasa dan tidak sepatutnya berlaku dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrulhisham Shaharin ketika mengulas perkara itu berkata, beliau tidak bersetuju penglibatan isteri atau anak mereka yang ada hubungan kerja rapat dengan Perdana Menteri.

“Saya agak bersetuju ahli politik duduk dalam syarikat atau agensi kaitan kerajaan berdasarkan kelayakan, tapi tidaklah sampai macam di Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Pengerusinya merupakan isteri Setiausaha Perdana Menteri dan board (Lembaga Pengarah) pula anak menteri.

“Apa, org lain tak ada kemahiran ke?” soal beliau dalam hantaran menerusi akaun Twitternya semalam.

Beliau yang dikenali sebagai CheguBard mengulas pelantikan Datuk Junaidah Kiting sebagai Pengerusi AIM.

Junaidah, seorang usahawan adalah isteri kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya.

Seorang lagi, Nurul Iman, anak kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah AIM.

Budaya kronisme juga turut berlaku dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salehuddin Ayub mengumumkan Pengerusi Jemaah Pengarah dan Ahli Lembaga Pengarah dalam kalangan ahli politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dilantik sebagai Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas yang baharu yang berkuatkuasa semalam bagi menggantikan pengerusi terdahulu, Datuk Seri Saipolbahri Suib.

Phahrolrazi kini memegang jawatan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kedah.

Sementara Ketua Cabang PKR Shah Alam, Senator Dr Yaakob Sapari dilantik sebagai Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Nafas.

Tiga lagi AJP dari parti itu ialah Ketua PAN Simpang Renggam, Muhamad Said Jonit; Wan Kharizal Wan Khazim (Pengerusi PAN Perlis) dan ADUN Apam Putra, Mohd Hisyamuddin Ghazali.

Lima lagi AJP Nafas ialah Pemangku Ketua UMNO Jeli, Datuk Abdul Aziz Derashid; Bekas Ketua UMNO Selayang, Datuk Ahmad Bhari Abd. Rahman; Datuk Tengku Aziz Tengku Jaafar; Abdul Kalam Hassan dan Ishak Taib. – MalaysiaGazette