RINGLETĀ – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menunjukkan keikhlasannya dalam membantu rakyat dengan tidak menyekat peruntukan pembangunan di kawasan Parlimen yang dimenangi pembangkang khususnya Barisan Nasional (BN) di Cameron Highlands.
Ahli Parlimen Cameron Highlands baharu, Ramli Mohd Nor berkata, jika keadaan berlaku sebaliknya, ia adalah tindakan menghukum pengundi yang memilih bukan wakil mereka dalam pilihan raya semalam.
“Tidak ada kekangan, saya rasa lagi positif, kerajaan pusat kena tunjuk yang betul atau tidak mereka betul-betul prihatin kepada masyarakat di Cameron Highlands.
“(Beri peruntukan) itu keikhlasan, sama ada Kerajaan Pusat betul kisah atau tidak, mereka akan menghukum kawasan-kawasan yang bukan menyokong mereka atau tidak,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika menziarahi masyarakat Orang Asli di Pos Mensun, di sini, hari ini.
Dalam PRK Cameron Highlands semalam, Ramli diumumkan sebagai pemenang dengan menewaskan tiga pencabarnya dengan majoriti 3,238 undi.
Ramli memperoleh 12,038 undi mengalahkan tiga calon lain termasuk Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran, 59, yang memperoleh 8,800 undi.
Sementara itu calon Bebas Sallehuddin Ab Talib yang menggunakan simbol buku memperoleh 314 undi dan Wong Seng Yee mendapat 276 undi dengan simbol cangkul.
Sementara itu, Ramli menafikan kemenangannya itu disebabkan BN giat memainkan isu perkauman sepanjang tempoh kempen, sebaliknya calon PH sendiri telah menyentuh sensitiviti kaum.
“PH kata kena pilihan raya bersih, masyarakat boleh tengok siapa yang bersih, apa isu yang timbul, saya rasa saya tiada isu pun.
“Serangan-serangan terhadap saya iaitu debat, saya tak nak pergi, bukan saya tak nak pergi, saya nak debatkan apa.
“Walhal daripada isu kuih dan berterusan hingga ke akhirnya siapa yang buat isu, pihak BN tidak menimbulkan apa-apa isu,” katanya.
Katanya lagi, pemimpin PH perlu menunjukkan contoh yang baik kepada parti-parti pembangkang termasuk mematuhi peraturan sewaktu kempen pilihan raya.
“BN menghormati peraturan, kalau peraturan itu sudah cakap macam ini (larangan guna aset kerajaan), kita buatlah macam itu, Insya-Allah kita buat sebaik mungkin.
“Bukan kita cakap kena buat macam itu tapi yang berlaku lain, isu salah guna aset kerajaan, isu kuih Orang Asli orang Melayu tak makan, tak perlu ini semua.
“Apa yang mereka cakap kena buatlah, bukan cakap tak serupa bikin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette