Nuridah Mohd Salleh
Nuridah Mohd Salleh

KUALA LUMPUR – Muslimat Pas menyokong penuh inisiatif Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjalankan kempen “SayNo2Zina” sebagai usaha menangani masalah sosial yang membawa implikasi negatif dalam masyarakat.

Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, kempen itu sememangnya salah satu jalan ke arah mencegah perlakuan seksual sebelum berkahwin.

Kata beliau, statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan purata 4,000 remaja bawah umur 18 tahun hamil setiap tahun dan sebanyak 79,302 kes dari 2012 hingga 2016.

“Statistik polis pula katanya, merekodkan sejumlah 911 bayi dibuang dari 2010 hingga Ogos tahun lalu, di mana 585 bayi dijumpai tidak bernyawa.

“Tentunya angka ini begitu membimbangkan memandangkan bilangannya yang bertambah saban tahun,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Menurut Nuridah, pembentukan generasi muda amat penting dalam mencerminkan modal insan dan pembangunan sosial negara.

Selain itu, kata beliau, gejala zina turut meningkatkan risiko jangkitan penyakit kelamin seperti HIV, sifilis, gonorrhea dan lain-lain.

“Malangnya usaha menegah perlakuan zina ini mendapat tentangan dari NGO seperti Program Woman Center for Change (CCC) Penang serta Asia Pasific Resource and Research Center for Women (Arrow) seperti yang dilaporkan akhbar.

“Hujah yang dibawakan terhadap mesej #jagadiri dan #stayabstinence dikatakan bersifat moral, menghukum serta menggunakan pendekatan konservatif.

“Kami turut menegaskan, penentangan oleh pihak tertentu terhadap kempen SayNo2Zina adalah dangkal dan jelik,” tegasnya.

Beliau berkata, sepatutnya permasalahan sosial yang berlaku kini ditangani dari peringkat akar umbi yang akhirnya membawa kembali kepada nilai moral dan penjagaan hubungan lelaki serta wanita.

“Kami menyeru kepada rakyat tanpa mengira latar belakang budaya dan agama untuk turut sama menyokong kempen SayNo2Zina ini sebagai usaha menangani isu gejala sosial yang semakin membarah dalam kalangan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette